Sabtu, 16 April 2011

Gurindam

Apakah Gurindam

Gurindam sebagai satu bentuk puisi Melayu tradisional sepertimana dikenali sekarang diperkenalkan oleh Raja Ali Haji melalui ‘Gurindam Dua Belas” yang dikarang pada tahun 1846. Bentuk gurindam adalah terikat, yakni terdiri daripada dua baris serangkap mengandungi tiga hingga enam patah perkataan dengan skima rima a;a. Seuntai gurindam memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea. Bahasanya bernas dan serius. Isinya mengandungi nasihat, pengajaran, kebenaran serta pernyataan perasaan cinta.

Ciri-ciri Gurindam

Gurindam mempunyai beberapa ciri, seperti berikut :

i) Dua baris serangkap

ii) Empat hingga enam patah perkataan / 8 – 12 suku kata sebaris.

Contoh :

Apabila terpelihara mata,

Sedikit cita-cita.

Bersungguh-sungguh engkau memelihara tangan,

Daripada segala berat dan ringan. (Kerusi, hlm. 8)

iii) Jumlah rangkap dalam seuntai gurindam tidak ditentukan.

iv) Skima rima hujung bercorak serima iaitu a;a.

v) Ada kalanya wujud unsur asonansi dan aliterasi pada perkataan dalam baris.

vi) Rangkapnya terbahagi kepada unit syarat atau induk kalimat (baris pertama ) dan jawab atau anak kalimat (baris kedua)

vii) Umumnya mengandungi pernyataan yang serius terutama untuk memberi pengajaran atau menyatakan perasaan cinta.

Kekeliruan Penggunaan Istilah Gurindam

  • Dalam beberapa teks tradisonal, istilah gurindam, syair, pantun dan seloka seringkali diguna pakai oleh tukang cerita atau penyalin teks secara agak bebas.
  • Hal ini menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat umum, kerana ‘nama’ puisi yang ditutur atau dinukilkan berbeza dengan penjenisan puisi yang dilakukan para sarjana, terutama untuk kajian dan rujukan pelajar serta penyelidik. Misalnya :

i) “Maka adapun negeri itu baharu dibuka oleh baginda; adalah seperti gurindam orang dahulukala: ”

Awak tua bandar terbuka,

Emas habis, dagangan mudah,

Kerbau kambing sesak di padang,

Itik angsa tenang di kuala,

Merpati lindungan langit,

Rengkiang tujuh sejanjar;

Taman dengan sekerat kota,

Emas perak penuh di rumah,

Tangga rumah emas bertuang,

Ibu tangga emas bertitik,

Batuan sawa mengulur;

Penuh sesak hamba sahaya,

Ada yang empat senama,

Ada yang lima senama,

Dilaung di rumah di tanah menyahut,

Dilaung di tanah di rumah menyahut. (Hikayat Malim Deman, hlm. 2)

ii) Setelah dilihat Tun Mamat, segala burung-burung di dalam taman itu pun berbunyi, pelbagai bunyinya; ada yang seperti orang bersiul, ada yang seperti orang berbangsi, ada yang seperti orang bersyair, ada yang seperti orang berseloka, ada yang seperti orang bergurindam.

(Sejarah Melayu, Shellabear, 1975, hlm. 208)

iii) “ Maka sahut Hang Jebat ‘ Inilah pekerjaan yang sempurna. Sepala-pala jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu

rosak bawang ditimpa jambaknya’. (Hikayat Hang Tuah, hal. 356)

iv) “Sebermula, adapun waktu mimpi itu masa saat yang sempurna, “

Tengah malam sudah terlampau,

Dinihari belum lagi tampak,

Budak-budak dua kali jaga,

Orang muda pulang bertandang,

Orang tua berkalih tidur;

Embun jantan rintik-rintik,

Berbunyi kuang jauh ke tengah,

Sering lanting riang di rimba;

Melenguh lembu di padang

Sambut menguak kerbau di kandang,

Berkokok mandung, merak mengigal,

Fajar sedang menyingsing naik,

Kicak- kicau bunyi murai,

Taptibau melambung tinggi,

Berkuku balam di hujung bendul,

Terdenyut puyuh panjang bunyi;

Puntung sejengkal tinggal sejari;

Itulah alamat hari ‘nak siang.

(Hikayat Malim Deman , hal. 4)

v) Maka Tuanku Malim Deman pun lalu memanggil Si Kembang Cina seraya berpantun. Demikianlah bunyinya :

(a) Jikalau kulurut padiku ini,

Jikalau kulurut pecah batang;

Jikalau kuturut hatiku ini,

Jikalau kuturut,salah datang.

Setelah didengar oleh Si Kembang Cina akan titah Tuanku Malim Deman itu, diamlah ia seketika seraya berfikir di dalam hatinya, ‘Apalah gerangan sebabnya Tuanku Malim Deman membuat aku seperti yang demikian ini? Tiadalah pernah ia bertitah serta berpantun seloka seperti malam ini pula’.

(Hikayat Malim Deman, hlm.5)

Hatta bertitah pula Tuanku Malim Deman seraya berpantun demikian bunyinya;

(b) Sepanjang-panjang rambut,

Hujungnya gerak gerayu juga;

Sesayang-sayang disebut,

Kesudahan bercerai pula.

(Hikayat Malim Deman, hlm.9)

Berdasarkan pembahagian bentuk, mengikut kajian ilmiah masa kini,

  • Puisi (i) dikatogarikan sebagai bahasa berirama (rhythmical verse / rhythmical passage), talibun atau sesomba. Skima bahasa ini menjadi acuan puisi yang seringkali dimunculkan dalam mana-mana cerita lisan yang memaparkan babak sedemikian (pembukaan negeri baru; gambaran tentang kemakmuran dan keharmonian hidup rakyat jelata).
  • Sementara puisi (ii) memberi petanda bahawa istilah syair, seloka dan gurindam merujuk kepada nyanyian yang berbunyi indah dan merdu.
  • Bentuk puisi (iii), pada masa kini dikenali sebagai peribahasa.
  • Beberapa teks antologi puisi tradisional dikesan meletakkan puisi (iv) sebagai gurindam. Pengkatogarian ini agak kurang tepat dan mengelirukan. Ini kerana si tukang cerita teks berkenaan pun tidak menyatakan puisi tersebut sebagai gurindam. Puisi berkenaan dikatogerikan sebagai bahasa berirama.
  • Sementara puisi (v a) adalah seloka bentuk terikat (juga dikenali sebagai pantun seloka) kerana isinya membawa mesej cinta bernada sindiran.
  • Bandingkan pula dengan puisi (v b) iaitu pantun 4 kerat.

Kecelaruan istilah yang diwujudkan oleh tukang cerita ini dapat difahami, kerana bagi mereka pantun, syair, gurindam dan seloka merujuk kepada keselesaan mengalunkan bahasa secara berirama (dengan/ tanpa alat muzik), puitis, mungkin juga bersukat dan berangkap, sehingga membentuk larik puisi yang indah. Maka, terlaksanalah tugas mereka untuk mempesonakan khalayak yang mendengarnya.

Sungguhpun demikian, masalah penjenisan dan penggunaan istilah kebanyakan puisi tradisional masih lagi terbuka untuk perbahasan dan kajian lanjut. Penjenisan awal yang dilakukan oleh Winstedt, A. Teauw, Taib Osman telah dibahaskan oleh sarjana kemudian seperti Shafie Abu Bakar, Harun Mat Piah, Muhammad Haji Salleh dan masih diteruskan oleh sarjana mutakhir di pusat pengajian tinggi.

Namun, bagi kes istilah gurindam, ada baiknya diguna pakai istilah gurindam untuk merujuk kepada bentuk dan struktur puisi ciptaan Raja Ali Haji, agar tidak mengelirukan pelajar yang mengkaji puisi Melayu tradisional di peringkat sekolah menengah dan masyarakat umum.

Bagaimana menghasilkan Gurindam

  • Ditulis 2 baris serangkap

Orang yang rajin membaca buku (Baris 1)

Banyak ilmu yang ia tahu (Baris 2)

  • Bilangan rangkap tidak ditentukan jumlahnya.

  • Baris 1 – frasa ayat yang tidak sempurna (memerlukan sambungan pada baris kedua)

Membaca buku siang dan malam

….(bersambung pada baris ke-2)…

  • Baris 2 adalah sambungan frasa pada baris 1 (menjadi ayat yang lengkap)

…………

Menambah ilmu menyinari kelam

(sambungan baris 1)

  • Baris 1 adalah subjek idea (juga menjadi sebab)

Membaca buku siang dan malam

‘Membaca buku’ adalah subjek/ sebab

  • Baris 2 adalah huraian idea (menjadi akibat)

Menambah ilmu menyinari kelam

‘Menambah ilmu’ dan ‘menyinari kelam’ adalah huraian idea/ akibat

  • Setiap baris mengunakan 3 hingga 6 patah perkataan.

Gurindam di atas tercipta dengan menggunakan 4 hingga 5 patah perkataan sebaris.

Orang yang rajin membaca buku (5 pp)

Banyak ilmu yang ia tahu (5 pp)

  • Sebagai latihan awal eloklah dicipta gurindam yang dimulai dengan kata ‘jika, apabila, kalau, andai’. Ciptalah gurindam bertemakan nasihat.

Contoh :

Gurindam Rajin Belajar

Jika kita rajin belajar,

Jadi berguna bila dah besar.

Apabila suka pergi sekolah,

Ibu gembira bapa tak marah.

Kalau selalu membaca buku,

Bertambah ilmu banyak yang tahu.

Andai tekun mendengar ajaran,

Jadi ingat semua pelajaran.

  • Pilih dan susun perkataan yang dirasakan tepat untuk menggambarkan idea.

Pelajar boleh menggunakan teknik medan kata untuk mencari kata-kata yang tepat dan berkaitan dengan idea. Contoh.

Belajar

sekolah rajin ibu-bapa tekun

ilmu berguna guru membaca

buku besar gembira suka

pelajaran tahu ingat berguna

Semua perkataan/ diksi yang dipilih menjadi medan kata untuk perkataan belajar adalah berkait rapat dan berada dalam lingkungan maksud serta sifat perkataan berkenaan.

  • Pilih kata-kata yang indah dan puitis. Seterusnya bentuklah frasa atau ayat yang juga indah dan puitis. Selalulah merujuk kamus untuk mencari perkataan yang dirasakan sesuai.

  • Susun perkataan dengan skima rima hujung a;a. Walaupun gurindam tidak mementingkan skima rima tengah, namun jika dapat diusahakan, pengucapannya akan menjadi lebih puitis.

Apabila suka pergi sekolah,

Ibu gembira bapa tak marah.

‘Suka’ dijodohkan dengan ‘gembira’ untuk rima tengah, sementara sekolah dijodohkan dengan marah untuk rima hujung. Sungguhpun skima rimanya gurindam di atas tidak bercorak serima, ia masih boleh dianggap binaan gurindam yang baik.

§ Namun adalah lebih elok andainya dapat difikirkan skima rima yang serima baik di tengah mahupun di hujung.

Apabila suka pergi sekolah,

Hilanglah duka betulkan salah

‘Suka’ dan ‘duka’ membentuk rima tengah sementara ‘sekolah’ dan ‘salah’ membentuk rima hujung; menjadikan skima rimanya bercorak serima. Dengan ini pengucapannya menjadi lebih harmonis.

§ Akhirnya bacalah berulang kali gurindam yang diciptakan tersebur sambil membuat suntingan (edit) agar tercipta gurindam yang bermakna, indah dan puitis dari aspek pemikiran dan bahasanya.

Bagaimana mempersembahkan (apresiasi) Gurindam

Gurindam didendangkan dengan pelbagai variasi melodi lagu.

Umumnya rentak gurindam adalah perlahan (kerana mesej cinta/ nasihat)

Suara beralun dan bertingkah (tinggi-rendah-mendatar)

Antara lagu gurindam :

  • versi Bangsawan 30-an
  • versi Kedah - Perlis
  • versi Lagu Narasi (Johor-Riau)

Pelajar dan guru boleh menghubungi Dewan Bahasa dan Pustaka atau Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mendapatkan Compac Disc Puisi Tradisional untuk mendengar contoh melodi gurindam.

iGoogle

iGoogle

Tempahan Makanan dan Penginapan di Cameron Highlands.

Salam sejahtera. Perlukan Khidmat makanan dan penginapan.
Apartmen.. Cantik..3 bilik 2 bilik air siap dengan astro...dekat dengan bandar tanah rata...jalan kaki.. kalau pelajar nak menjerit pun tak kisah....boleh karaoke...tapi kena sewa peralatan...

makanan dan bbq boleh di buat sekali....gerenti puashati....
harga : rm250 semalam je.....kalau hari kerja boleh kurang lagi.....
makanan... packing : RM5.50 seorang( makan tengahari/ malam)+ air
RM 3.00 seorang( sarapan pagi) + air.
bbq = harga ikut menu yang di pilih.... bakar sendiri + arang disediakan... enjoy and steady.....
kawalan pelajar mudah...sebab group anda sahaja.. ( ada 6 apatment) sesuai untuk 80 orang.
call 0139396499 Cikgu Rahman 0139866499 kak Ita

Seloka

SELOKA

Apakah Seloka

Istilah seloka berasal daripada perkataan Sanskrit shloka. Dalam bahasa Melayu, seloka bererti berseloroh, berjenaka atau menyindir. Seloka merupakan puisi yang paling tua dalam kesusasteraan Melayu. Seloka dipercayai datang ke alam Melayu bersama-sama perkembangan agama Hindu di Asia Tenggara. Teks Mahabarata dan Ramayana merupakan buku terawal yang tertulis dalam bentuk seloka.

Sebagai puisi tradisional, karangan berangkap atau bahasa berirama, seloka lebih merupakan pepatah, bidalan atau perumpamaan yang mengandungi unsur jenaka, gurau senda, olokan, ejekan dan sindiran. Walaupun seloka merupakan puisi yang bercorak senda gurau namun isinya mengandungi sindiran yang menjadi pengajaran dan teladan kepada pembaca. Kebanyakan seloka Melayu ditulis dalam bentuk terikat yakni empat baris serangkap dengan memakai bentuk pantun atau syair. Selain itu seloka juga ditulis dalam bentuk bebas iaitu setiap barisnya menjadi isi puisi berkenaan.

(a) Ciri-ciri Seloka

Seloka mempunyai beberapa ciri seperti berikut :

i) Karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi rima hujung yang bebas.

ii) Terbahagi kepada unit pembayang (induk kalimat) dan unit maksud (anak kalimat)

iii) Perkataan sindiran atau ejekan disampaikan dalam bentuk berangkap.

iv) Mengandungi unsur jenaka atau gurau senda

v) Digunakan untuk menyindir sambil mengajar.

(a) Jenis Seloka

Seloka dijeniskan berdasarkan bentuk iaitu seloka berbentuk bebas dan seloka berbentuk terikat.

Contoh seloka bentuk bebas :

Aduhai malang Pak Kaduk

Ayamnya menang kampung tergadai

Ada nasi dicurahkan

Awak pulang kebuluran

Mudik menongkah surut

Hilir menongkah pasang;

Ada isteri dibunuh

Nyaris mati oleh tak makan

Masa belayar kematian angin

Sauh dilabuh bayu berpuput

Ada rumah bertandang duduk. (Anak Laut, hlm. 9)

Contoh seloka bentuk terikat (bentuk pantun/ syair) :

Buah pinang buah belimbing,

Ketiga dengan si buah mangga;

Sungguh senang berbini sumbing,

Walau marah ketawa juga. (Warisan Puisi Melayu, hlm. 67)

Dapatlah dirumuskan bahawa puisi Melayu tradisional seperti pantun, syair, gurindam dan seloka adalah pancaran nilai dan pemikiran masyarakat Melayu tradisional. Bentuk dan isi pemikirannya bukan sahaja berguna dalam konteks zamannya malah releven untuk setiap masa, ruang dan latar masyarakat Melayu atau Malaysia hari ini.

Bagaimana menghasilkan Seloka

a) Sebelum pelajar mencipta seloka, harus terlebih dahulu difahami dengan jelas ciri serta bentuk seloka sepertimana dibincangkan pada bahagian awal tulisan ini.

b) Pelajar juga harus memahami dengan jelas fungsi penggunaan seloka terutama konteks masa/ suasana, tempat, sasaran pendengar dan mesej yang ingin disampaikan agar sesuai serta pendengar dapat menerimanya secara santai.

c) Pilihlah perkataan, frasa atau ayat yang kedengarannya lembut tapi berbekas di hati dan perasaan. Elakkan dari menggunakan perkataan yang kasar (kata-kata yang dianggap taboo serta lucah) kerana ia mungkin akan menimbulkan rasa sensitif yang boleh memudaratkan pencipta atau pengucap.

d) Ada dua bentuk seloka yang boleh dicipta iaitu seloka bentuk terikat (pantun seloka ) dan seloka bentuk bebas.

Mencipta seloka bentuk terikat (pantun seloka)

Pelajar bolehlah menciptanya (gunakan ciri bentuk) sepertimana mencipta pantun atau syair;

  • empat baris serangkap
  • empat patah perkataan sebaris
  • 8-12 suku kata sebaris
  • skima rima tengah/ hujung ab;ab atau aa;aa
  • ada pembahagian pembayang dan maksud atau seluruhnya maksud

Contoh :

Seloka bentuk pantun

Apa guna pergi ke pasar

Kalau tidak bawa keranjang

Apa guna berkereta besar

Kalau hutang keliling pinggang

(Dibina dengan baris pembayang dan maksud, skima rima ab;ab, bernada jenaka)

Seloka bentuk syair

Ada seorang anak dara

Pandai melaram pandai bergaya

Tak pandai masak pun tak apa

Nanti kawin Datok kaya

(Dibina seluruhnya maksud, skima rima aa;aa, bernada lucu)

Mencipta seloka bentuk bebas

i) Terlebih dahulu harus difikirkan satu idea utama (tema) untuk dijadikan bahan kritikan/ sindiran.

ii) Kemudian fikirkan pula idea-idea sampingan yang boleh menyokong idea utama (persoalan)

iii) Idea utama/ idea sampingan berfungsi sebagai induk kalimat

iv) Idea utama dan idea sampingan memerlukan huraian tertentu untuk menjelaskannya. Huraian berkenaan berfungsi sebagai anak kalimat.

v) Tidak ditentukan pada baris manakah letaknya induk kalimat ; boleh di awal pertengahan atau akhir rangkap.

vi) Fokuskan perbincangan serta huraian pada aspek sifat dan sikap watak atau situasi cerita yang menjadi subjek sindiran.

vii) Pastikan sindiran-kritikan akhirnya menjurus ke arah mengajar-mendidik atau memberi peringatan kepada pendengar agar tidak melakukan perbuatan tidak elok sepertimana tergambar pada perlakuan watak atau situasi cerita berkenaan. viii) Pastikan bahasa yang digunakan tetap kedengaran sopan, berlapik serta berkias, sungguhpun terasa berbisa kepada orang yang mungkin melakukannya.

ix) Tidak ada had bagi jumlah kata sebaris atau jumlah baris serangkap. Juga tidak dihadkan jumlah baris yang menjadi induk kalimat dan jumlah baris yang menjadi anak kalimat. Bergantung kepada kesesuaian perlukisan watak atau gambaran situasi.

x) Rima tengah / rima hujungnya juga tidak ditentukan pola (rima bebas), namun seelokknya ada unsur permainan bunyi (asonansi/ aliterasi) agar kedengaran indah sewaktu dilafazkan.

Contoh seloka bebas.

Anak Bertuah

Bertuahnya anak aku*

Belajar pandai sampai universiti;

Kerja besar gaji besar

Bini cantik kereta antik

Rumah pula tepi bukit

Aku juga sakit-sakit

Bertuahnya anak aku;*

Meeting sana meeting sini

Dalam negeri luar negeri

Kampung laman tak peduli

Ayah sakit ibu mati apa peduli;

Buat duit atas duit

Baju koyak seluar carik

Bertuah sungguh anak aku.*

(Tidak ditentukan jumlah kata, jumlah baris dan skima rima. Baris 1, 7 dan 14 adalah induk kalimat. Baris-baris lain adalah anak kalimat. Subjek yang difokuskan adalah perwatakan anak yang tidak mengenang jasa ayah dan ibu)

e) Perlu diingatkan bahawa gaya penyampaian idea dan mesej adalah bercorak jenaka - sindiran dengan menggunakan nada lucu – bersahaja.

f) Untuk tujuan itu, pemilihan kata, frasa, ayat mahu pun cara mengungkapkan sindiran harus diteliti dengan penuh hemah dan bijaksana.

g) Sering orang melupakan, bahawa salah satu sifat khusus seloka adalah puisi yang dibina sebagai sampiran untuk merumuskan perwatakan atau situasi (cerita jenaka). Hal ini terlihat pada kisah Pak Kaduk, Pak Pandir, Lebai Malang, Emak Si Randang ; sifat watak dalam cerita jenaka berkenaan dirumuskan dalam bentuk seloka.

h) Sehubungan itu, sebaiknya seloka dicipta sebagai rumusan watak/ situasi dalam sebuah cerita jenaka. Ini bererti pelajar perlu mencipta sebuah cerita jenaka dengan mengetengahkan seorang watak yang dominan terlebih dahulu sebelum menghasilkan seloka.

i) Hal ini menjelaskan bahawa seloka sebenarnya bukanlah bentuk puisi yang bebas tercipta sendirian, tapi merupakan puisi sisipan untuk sebuah cerita jenaka.

Bagaimana pempersembahkan (apresiasi) Seloka

Sama seperti puisi tradisional lain, seloka juga boleh dilafazkan atau pun dilagukan. Namun sebaiknya seloka dilagukan demi memenuhi tuntutan konsep seloka yang bererti puisi lirik yang mengandungi irama atau lagu.

Jika pelajar memilih untuk melafazkan seloka beberapa panduan mudah boleh dipraktiskan.

1) Fahami dan hayati setiap patah perkataan.

2) Cuba praktis membunyikan perkataan berkenaan dengan jelas dan mengikut nada yang sesuai.

3) Gunakan cermin untuk melihat gerak wajah (permainan mata, bibir, mulut, kening) yang bersesuaian dengan kata-kata yang dilafazkan.

4) Timbulkan unsur menyindir dan lucu bila menyebut perkataan atau ayat berkenaan.

5) Hayati patah kata/ frasa atau ayat. Rasai nada ucapan kata berkenaan dan lontarkan suara mengikut memik muka lucu-menyindir.

6) Pernah seorang professor sastera/ puisi memberitahu bahawa cara paling sesuai melafazkan seloka ialah dengan cara menyebut perkataan sambil memuncungkan bibir serta membeliak/ menjulingkan mata (sepertimana mimik muka orang yang sedang mengumpat/ menyindir). Cubalah !

7) Bila menyebut patah kata, ada kata yang perlu diucapkan dengan laju, keras, nyaring; ada pula yang lembut, lambat dan perlahan. Oleh itu pelbagaikan tekanan suara dan kelajuan patah perkataan.

Jika pelajar memilih untuk melagukan seloka pula, beberapa perkara perlu dipertimbangkan ;

1) Nada atau irama yang sesuai adalah irama yang rancak/ cepat.

2) Seloka tidak sesuai dialunkan dengan irama perlahan mendayu. Ini kerana, seloka bersifat lucu-menyindir. Hendak menyindir atau mengata orang tidak boleh lambat-lambat (nanti kepala benjol !). Lafazkan cepat-cepat, lepas itu angkat kaki (selamatkan diri!).

3) Mungkin agak sesuai jika iramanya ada unsur irama Hindustan atau pengaruh melodi India, sesuai dengan asal kedatangannya dari peradaban Sanskrit Hindu.

4) Pelajar sebenarnya bebas untuk melagukan seloka mengikut kesesuaian irama dan mesej yang hendak disampaikan (asalkan berirama rancak !).

5) Pelajar boleh mendengar contoh lagu seloka yang dimuatkan dalam CD Puisi Tradisional terbitan Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia atau CD Puisi Tradisional yang diusahakan oleh Iladam (Budayawan Melaka) yang dikeluarkan oleh Yayasan Kesenian Negeri Melaka atau hubungi Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bagaimana mengajarkan seloka

Persediaan Mengajar

Genre : Puisi Tradisional

Tajuk : Seloka Pak Kaduk

Tingkatan : 4 Biru

Bilangan Pelajar : 30 orang

Masa : 80 minit

Fokus Utama

10.5 Menghuraikan maksud, gaya bahasa, dan unsur bunyi dalam puisi.

Aras 2 : iii Memahami dan menghayati nilai dalam karya untuk dijadikan iktibar dalam kehidupan.

Fokus Sampingan

1.4 Bersoal jawab secara bertatasusila tentang sesuatu perkara dengan menggunakan pelbagai soalan.

Aras 1 : v Menyoal dengan menggunakan teknik lingkaran soalan pelbagai aras untuk meneruskan perbualan.

1.6.1 Menyatakan perasaan secara berterus terang dan beradab tentang sesuatu perkara untuk mengekalkan hubungan.

Aras 1 : vii Membuat penilaian kendiri dan mengungkapkannya kepada orang lain untuk berkongsi pengalaman.

Objektif : Pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid dapat:

1. Menghurai maksud keseluruhan seloka dengan menggunakan ayat yang lengkap.

2. Menjelaskan tiga gaya bahasa seloka dengan menggunakan borang pengurusan grafik.

3. Menyenaraikan lima nilai positif seloka dengan gaya bahasa sendiri

Sistem Bahasa :

Kosa kata : kampung tergadai, menongkah surut, menongkah pasang, mudik, hilir, kematian angin, sauh, bayu, bertandang duduk.

Kemahiran Bernilai Tambah :

Kemahiran berfikir : Menjana idea, mengenalpasti, mencari maklumat

Kemahiran belajar cara belajar : Pengurusan grafik, penulisan jurnal, refleksi

Strategi: Pembelajaran koperatif dan kolaboratif, kajian masa depan, kontekstual

Pengisian Kurikulum :

Ilmu : Sosiobudaya, geografi

Nilai : Kasih sayang, kemasyarakatan, kebijaksanaan, rasional

Bahan Bantu Belajar (BBB) :

Gambar, kertas A4, lembaran petikan seloka/ buku teks Anak Laut hlm.9, kompang, kertas mahjung, marker pen, transparensi, pen transparensi, lembaran pengurusan grafik, kad kata.

Langkah Pengajaran dan Pembelajaran

1. Pelajar ditunjukkan sekeping gambar/ lakaran wajah seseorang bertulis ‘Pak Kaduk’. (Lampiran 2.1)

  1. Pelajar dan guru berbincang secara ringkas tentang gambar berkenaan berdasarkan pengetahuan sedia ada mereka mengenai sifat dan perwatakan Pak Kaduk yang mungkin diketahui melalui cerita rakyat. Guru mengaitkannya dengan tajuk pelajaran hari ini iaitu puisi tradisional bertajuk Seloka Pak Kaduk.
  2. Guru mengarahkan pelajar membentuk lima kumpulan kecil mengandungi enam orang bagi satu kumpulan untuk melaksanakan aktiviti respon pembaca dengan teknik penulisan jurnal (Lampiran 2.2). Setiap kumpulan perlu melantik ketua dan setiausaha masing-masing.
  3. Guru mengedarkan sehelai kertas kosong A4 bertanda ‘sebelum membaca’ (Lampiran 2.3) kepada setiap kumpulan. Setiap ahli dalam kumpulan diarah mencatat secara reflektif dan koloboratif mengenai jangkaan mereka terhadap sifat dan perwatakan Pak Kaduk yang mungkin digambarkan melalui puisi berkenaan.
  4. Ketua kumpulan merumuskan pendapat ahli kumpulan. Wakil kumpulan membentangkan rumusan berkenaan.
  5. Guru mengedarkan petikan Seloka Pak Kaduk / teks Anak Laut, hlm.9 (Lampiran 2.4). Murid diarah membaca petikan berkenaan secara senyap. Selepas itu, dua orang murid diarahkan membaca petikan secara kuat mengikut nada dan intonasi yang sesuai dengan bimbingan guru.
  6. Guru mengedarkan sehelai kertas kosong A4 bertanda ‘semasa membaca’ (Lampiran 2.5) kepada setiap kumpulan. Setiap ahli dalam kumpulan diarah mencatat satu isi penting seorang secara berurutan. Catatan adalah berbentuk reflektif dan koloboratif.
  7. Ketua kumpulan merumus catatan ahli. Wakil kumpulan membentangkan rumusan berkenaan.
  8. Guru memperkenalkan lagu Seloka Pak Kaduk. Guru membimbing pelajar melagukan seloka dengan baik.
  9. Guru mengedarkan lembaran pengurusan grafik berkenaan gaya bahasa seloka (Lampiran 2.6). Murid diminta berbincang dan melengkapkan borang berkenaan. Wakil kumpulan membentang hasil perbincangan.
  10. Guru mempamerkan kad kosa kata terpilih yang diambil daripada Seloka Pak Kaduk (Lampiran 2.7). Pelajar di arah menjelaskan erti berdasarkan konteks ayat/ puisi. Seterusnya membina ayat gramatis berdasarkan kosa kata berkenaan.
  11. Guru mengedarkan kertas kosong A4 bertanda ‘selepas membaca’ kepada setiap kumpulan (Lampiran 2.8). Ahli kumpulan di arah menilai kembali tanggapan mereka terhadap watak Pak Kaduk sebelum dan semasa membaca berdasarkan isi seloka Pak Kaduk. Seterusnya menyenaraikan tiga nilai yang didapati daripada puisi berkenaan. Ketua kumpulan membuat rumusan. Wakil kumpulan membentangkan hasil perbincangan.
  12. Guru dan murid membuat rumusan pelajaran puisi Seloka Pak Kaduk.
  13. Penutup : Guru dan murid sama-sama mendendangkan Seloka Pak Kaduk.