SINOPSIS
Badar dan Jais cuba mengorek rahsia Zali yang meminati seorang pengawas yang bernama Zalina. Zali tidak mengiyakan atau menidakkan perkara itu sebaliknya dia hanya tersenyum. Badar dan Jais mencadangkan supaya Zali menulis surat kepada Zalina. Zali bimbang kalau-kalau Zalina akan mengadukan perkara itu kepada Cikgu Halil, guru disiplin di sekolah mereka. Badar dan Jais meminta Zali menulis surat tanpa nama pengirim dan menyatakan niatnya yang ingin berkenalan serta bersahabat dengan Zalina. Akhirnya surat itu siap ditulis oleh Zali dan diletakkan di dalam meja Zalina.
Zalina membawa surat yang ditulis oleh Zali untuk ditunjukkan kepada Cikgu Halil. Jais bimbang rahsia Zali terbongkar. Zali agak yakin Cikgu Halil tidak akan tahu. Namun begitu, apabila Jais menyebut tentang tulisan Zali, Zali mulai bimbang. Badar Zalina tidak mungkin berani melaporkan perkara itu kepada Cikgu Halilnkerana nanti dia juga yang akan malu. Ternyata andaian Badar itu meleset. Cikgu Halil masuk ke kelas dan menyuruh semua pelajar mengeluarkan buku latihan masing-masing. Cikgu Halil meneliti tulisan dalam buku para pelajar. Beliau meneliti tulisan dalam buku Zali agak lama. Cikgu Halil meminta Zali menulis nama dan alamatnya di papan hitam. Terbuktilah bahawa tulisan dalam surat itu meyerupai tulisan Zali. Beliau meminta Zali mengakui kesalahannya.
Cikgu Halil memutuskan hukuman yang akan dikenakan terhadap Zali bergantung kepada keputusan Zalina. Zali meminta maaf kepada Zalina. Zalina memaafkan Zali dan menasihati Zali supaya tidak mengulang perbuatannya. Badar dan Jais berasa gembira.
TEMA : Kenakalan pelajar lelaki yang sedang meningkat remaja yang melanggar peraturan sekolah.
PERSOALAN
1. Perasaan tertarik kepada individu yang berlainan jantina.
2. Pengaruh rakan sebaya yang kuat terhadap remaja.
3. Peranan guru dalam menyelesaikan masalah yang timbul.
4. Amalan bermaaf-maafan merupakan amalan yang baik.
5. Ketegasan seorang pengawas untuk menguatkuasakan peraturan sekolah
WATAK DAN PERWATAKAN
• Zali : rakan Badar dan Jais, meminati Zalina, mudah terpengaruh oleh kata-kata Badar dan Jais,pelajar yang baik dan bijak,berani mengakui kesalahannya, sanggup meminta maaf atas kesalahan yang dilakukannya.
• Badar : rakan Zali dan Jais, nakal dan suka mengusik orang, tahu bahawa Zali meminati Zalina, pandai mempengaruhi Zali.
• Jais : rakan Zali dan Badar, nakal dan suka mengusik orang, tahu bahawa Zali meminati Zalina, pandai mempengaruhi Zali.
• Zalina : pengawas sekolah dan berambut panjang, bijak,cantik dan bersopan, tegas, rajin, pemaaf.
• Cikgu Halil : tidak terburu-buru dalam membuat keputusan, bijak,tegas, berfikiran terbuka.
• Fatimah : kawan baik Zalina, pustakawan sekolah.
PLOT
• Permulaan : Zali, Jais dan Badar berbual-bual di bawah pokok tentang seorang pengawas perempuan di sekolah mereka, Zalina. Zali berhasrat mahu berkenalan dengan Zalina.
• Perkembangan : Jais mencadangkan kepada Zali agar menulis surat kepada Zalina dan meletakkan surat tersebut ke dalam meja Zalina. Zali menyetujuinya. Dengan bantuan Jais dan Badar yang mengawasi persekitaran, Zali berjaya meletakkan surat tersebut di dalam meja Zalina.
• Perumitan : Fatimah marah apabila Badar, Zali dan Jais membuat bising di dalam kelas. Zalina menemui Cikgu Halil dan menyerahkan surat yang diterimanya kepada Cikgu Halil.
• Puncak : Cikgu Halil mengarahkan semua murid meletakkan buku karangan masing-masing di atas meja. Zali yang tidak membawa buku karangannya diminta menulis alamatnya di papan hitam. Perbuatan Zali terbongkar apabila tulisannya sama dengan tulisan dalam surat yang diterima oleh Zalina.
• Peleraian : Zali meminta maaf kepada Zalina atas perbuatannya dan Zalina memaafkannya.
TEKNIK PLOT
Teknik dialog
ZALI : Kalau aku tidak tulis nama, macam mana aku hendak kenal dia.
Dan bagaimana pula dia hendak mengenali aku?
BADAR : Tadi, kau kata takut dilaporkan kepada Cikgu Halil.
Teknik pemerian
Contoh: ZALI segera beredar ikut pintu belakang. Mereka bertiga terus berlalu. ZALINA dan rakan-rakannya masuk ke kelas. ZALINA terus duduk di dalam kelas. Selepas itu, BADAR dan rakan-rakannya masuk.
Teknik saspens
Pembaca tertanya-tanya sama ada rahsia Zali akan terbongkar atau tidak apabila Zalina membuat keputusan menemui Cikgu Halil setelah dia menerima surat tanpa nama pengirim itu.
GAYA BAHASA
Peribahasa : Sudahlah! Janganlah masuk bakul, angkat sendiri.
Bahasa Inggeris : member, relax
Sinkof : Li, kau ingat tak apa yang kautanyakan aku semalam!
Similie : otak macam komputer dan gadis yang cantik macam bidadari.
Repitisi : Apabila dia masuk ke kelas, dia akan buka dan membacanya.
Anafora : Aku boleh belajar dan mengulang kaji pelajaran bersama-samanya.
Aku belajar pun, akan bertambah semangat.
LATAR
Latar tempat : di bawah pokok, di satu kawasan lapang, di dalam kelas.
Latar masa : waktu pagi ( waktu persekolahan ).
Latar masyarakat
• Masyarakat sekolah: murid dan guru.
• Masyarakat murid yang gemar melanggar peraturan sekolah.
• Masyarakat yang mengamalkan sikap saling bermaafan.
• Masyarakat pengawas yang tegas menegakkan disiplin.
NILAI
• Ketegasan
• Kebijaksanaan
• Bertanggungjawab
• Bermaaf-maafan
• Patuh kepada arahan
PENGAJARAN
1. Guru mestilah tegas kepada murid yang tidak mematuhi peraturan sekolah.
2. Sikap saling bermaaf-maafan mestilah diamalkan dalam kehidupan.
3. Setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan bijak.
4. Sikap suka melanggar peraturan sekolah mestilah dihindarkan.
5. Kita mestilah tegas menjalankan tugas yang diamanahkan