Rabu, 22 Jun 2011

Tajuk : pasaraya Besar

Tajuk:

Kewujudan pasaraya besar di negara ini sudah menjadi satu kebiasaan. Cuma pelbagai masalah pula timbul tanpa disedari.

Huraikan masalah-masalah yang timbul itu.

carrefour malaysia 300x225 Karangan PMR 03: Kewujudan Pasaraya Besar di Negara Kita

Contoh Jawapan

Salah satu bukti yang menunjukkan bahawa masyarakat sesebuah negara itu sudah maju ialah pasaraya besar wujud dengan begitu ketara dan Malaysia sudah memiliki pelbagai pasaraya besar. Kewujudan pasaraya sebegini sudah menjadi satu lumrah kehidupan terutama di kawasan bandar besar yang mempunyai populasi yang begitu tinggi. Kebanyakan pasaraya besar ini dimiliki oleh syarikat multinasional yang berasal dari negara asing seperti Perancis dan Britain. Sudah pasti akan wujud pelbagai impak ekoran kemunculan pasaraya sebegini dalam budaya kita.

Impak negatif yang pertama ialah pasaraya besar ini berupaya menjejaskan keseinambungan peruncit-peruncit kecil-kecilan di negara ini. Kalau dahulu peruncit ini boleh bersaing dengan pekedai lain tetapi kemunculan pasaraya besar sukar ditandingi mereka. Biasanya pasaraya besar membeli barangan dalam bentuk pukal lalu berupaya menjualnya dengan harga yang jauh begitu murah. Pada masa yang sama kos operasi pasaraya ini juga begitu rendah dibandingan dengan peruncit tempatan yang tiada pilihan selain gulung tikar. Maka, semakin banyak pasaraya besar ini semakin tipislah peluang untuk peruncit tempatan untuk mengaut keuntungan.

tescomalasia 300x144 Karangan PMR 03: Kewujudan Pasaraya Besar di Negara Kita

Pada masa yang sama pasaraya besar membawa kemunculan budaya baru pula yakn budaya membeli barangan dalam kuantiti yang banyak. Biasanya pembeli terpaksa membeli dalam jumlah yang banyak untuk mendapatkan lebih banyak potongan harga jika membeli sesuatu produk itu secara berasingan. Keadaan ini menyebabkan timbulnya konsep pembaziran yang keterlaluan terutama dalam aspek penggunaan sesuatu produk dan juga kegunaan wang pengguna. Oleh itu, pasaraya besar menyebabkan budaya membazir muncul dalam masyarakat kita sedikit demi sedikit lalu menjadi satu kelaziman pula suatu masa nanti.

Akibat pembinaan pasaraya besar ini tertumpu di kawasan yang padat penduduknya masalah kesesakan lalu lintas pula menjadi semakin kronik terutama ketika hujung minggu atau awal bulan. Kesukaran untuk mendapatkan tempat letak kereta menyebabkan banyak penggunan yang berkunjung ke pasaraya ini sengaja meletakkan kereta mereka di bahu-bahu jalan lalu menghalang kelancaran lalu lintas kenderaan lain pula. Situasi sesak ini pastinya menimbulkan masalah bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga kepada penduduk sekitar yang terpaksa menghadapi keadaan yang serupa berulang kali sepanjang hidup mereka. Sesungguhnya, pasaraya besar menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas bukanlah satu isu baru lagi malah sudah menjadi sesuatu yang biasa pula.

Natijahnya, pasaraya besar memberikan satu impak yang besar dalam kehidupan masyarakat kita sekarang. Kalau kita kaji secara mendalam semua aktiviti harian masyarakat banyak tertumpu di kawasan pasaraya besar ini. Kalau dahulu berbelanja dianggap sebagai satu kehendak kini aktiviti berbelanja sudah menjadi keperuan atau amalan biasa dalam kehidupan masyarakat kita. Mungkin masyarakat kita tidak akan mengena lagi jiran tetangga mereka kerana sibuk menghabiskan masa di pasaraya sahaja. Bayangkan.

Pengarang: Noor Azman Mahat

Contoh Ringkasan karangan:Gejala sosial

Baca petikan di bawah dengan teliti. berdasarkan petikan tersebut, tulis suatu ringkasan tentang punca-punca remaja terjebak dalam gejala sosial. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan mengunakan perkataan sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kebelakangan ini, pelbagai laporan tersiar tentang pembabitan remaja dalam gejala penagihan dadah, rogol, curi, samseng sekolah, lumba haram dan lepak. Tidak kurang juga remaja terbabit dalam kes pembunuhan rakan sekolah dan membuang bayi hasil hubungan haram. Dalam mencari pokok pangkal remaja bermasalah itu, kita perlu menerima hakikat remaja hari ini menghadapi pelbagai tekanan daripada keluarga dan persekitaran. Keluarga mengharapkan anak-anak mencapai kejayaan, manakala persekitaran menggamit remaja untuk terlibat dalam pelbagai perkara. Keadaan ini bertambah parah apabila remaja pada hari ini lebih terdedah kepada pengaruh media massa, termasuk dari Barat yang membawa nilai asing dan pengaruh tersendiri. Pelakuan ganas dan kejam yang dibawa terus ke rumah melalui televisyen dan stesen satelit sememangnya mampu memporak-perandakan remaja dan masyarakat kita. Keadaan diburukkan lagi apabila ibu bapa masa ini tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersama-sama dengan anak-anak. Dalam desakan memenuhi tuntutan mencari nafkah dan mencukupkan wang, ibu bapa keluar bekerja lantas tidak dapat meluangkan masa secukupnya dengan anak mereka.

Selain itu, apabila ibu bapa membiarkan anak-anak menghabiskan masa lapang mereka dengan rakan-rakan sebaya. Apabila remaja berada dalam kumpulan, mereka suka melakukan perbuatan yang mencabar. Oleh itu, banyak kejadian seperti vandalisme, peras ugut, buli , dan sebagainya yang dilakukan oleh mereka. Tidak syak lagi jika keadaan sebegini dibiarkan, institusi kekeluargaan bakal menjadi lemah dan rapuh, Di sinilah ibu bapa perlu tampil dan memainkan peranan sebagai contoh kepada anak mereka. Ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar duit dan kemewahan hidup sudah pasti tidak ada masa untuk membina dan membentuk sahsiah dan jati diri anak yang memerlukan belaian dan kasih sayang. Pendidikan agama dan moral yang begitu tandus dalam kalangan remaja juga menjadi punca mereka begitu rapuh untuk mengelakkan diri daripada gejala sosial, Aspek ini perlu diberikan perhatian semula oleh ibu bapa demi memastikan anaka mereka bersiap sedia menghadapi cabaran, tekanan dan perubahan sambil mengelakkan diri terjecak dalam pelbagai gejala sosial.

Di sekolah pula, remaja semakin bosan untuk meneruskan pelajaran lantaran ketidakmampuan otak mereka menerima pelajaran, Oleh sebab mereka sering tidak memahami pengajaran guru dan kadangkala mereka malu jika dimarahi, mereka bertindak untuk ponteng sekolah. Apabila mereka ponteng sekolah dan menghabiskan masa bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain, mereka akan terdedah dengan pelbagai gejala yang negatif. Bagi mereka yang bercinta pula, mereka begitu sensitif dan tidak boleh ditegur oleh ibu bapa. Mereka begitu mudah tersinggung. Apabila berlaku perbalahan dalam keluarga atau cinta mereka dilarang, mereka akan mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Sebagai akibatnya, tindakan mereka itu telah menyebabkan mereka hendak lari daripada mulut harimau, namun mereka terperangkap di dalam mulut buaya.

(Dipetik dan diubah suai daripada fail pengarang, 2008)

Vandalisma

Tajuk:

Vandalisme merupakan salah satu daripada perlakuan negatif yang sering dilakukan oleh anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab, terutama golongan remaja.

Jelaskan kesan-kesan kegiatan vandalisme di negara kita.


Contoh Jawapan:
Dalam memasuki era globalisasi ini masih ada segelintir rakyat di negara ini yang berfikiran sempit dan tidak bermoral. Golongan sebegini sanggup melakukan aktiviti vandalisme sehingga menyusahkan banyak pihak terutama pihak masyarakat umum. Pelbagai masalah boleh timbul ekoran aktiviti yang tidak sihat ini.

Impak yang paling ketara ialah masalah vandalisme ini mencacatkan pemandangan terutama di kawasan tandas awam yang dipenuhi dengan tulisan-tulisan yang tidak elok. Begitu juga kawasan taman permainan kanak-kanak yang menyaksikan banyak peralatan di situ yang sudah dimusnahkan begitu sahaja. Keadaan ini memberikan satu gambaran negatif kepada masyarakat luar bahawa rakyat di negara ini tidak begitu menghargai kemudahan awam yang disediakan.

Masalah vandalisme ini juga bakal menimbulkan pelbagai kesulitan kepada masyarakat umum. Rakyat kehilangan hak mereka untuk menggunakan kemudahan yang sepatutnya mampu untuk menjamin keselesaan hidup terutama kemusnahan telefon awam. Bayangkan bagaimana masyarakat hendak menggunakan telefon awam ketika kecemasan jika kemudahan ini telah dimusnahkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Pada masa yang sama amalan vandalisme ini turut membebankan pihak berkuasa terutama dalam aspek kewangan. Kerajaan terpaksa membelanjakan jutaan ringgit untuk membuat pembaikan terhadap semua kemudahan awam yang sudah mengalami kerosakan ini. Tindakan membaiki kemudahan awam ini membuktikan berlakunya satu pembaziran kerana wang tersebut boleh digunakan untuk membantu rakyat dalam aspek pembangunan yang lain pula.

Kesimpulannya, rakyat harus memikul tanggung jawab dalam memastikan vandalisme ini tidak berleluasa. Sebarang tindakan vandalisme boleh membawa impak negatif kepada semua pihak baik masyarakat mahupun kerajaan. Lantaran itu, semua pihak memikul tanggung jawab untuk menjamin kemakmuran hidup masyarakat di negara ini.

genste10 Karangan PMR 14: Kesan Vandalisme.

contoh karangan pmr

Tajuk:

Dewasa ini, banyak pelajar bekerja sambilan semasa cuti persekolahan. Pada pendapat anda, wajarkah pelajar bekerja secara sambilan.

Contoh Jawapan:

Apakah kerja sambilan? Sebenarnya kerja sambilan ini merujuk kerja sementara yang biasanya dilakukan oleh golongan remaja terutama ketika musim cuti sekolah. Kerja ini turut dilakukan oleh golongan tua dan wanita atas dasar untuk menambah pendapatan atau membantu suami menyara keluarga. Sememangnya kerja sambilan wajar dilakukan oleh remaja kerana sudah menjadi satu gaya hidup moden tetapi gaya ini turut mencetuskan pelbagai impak terhadap remaja.

Kerja sambilan ini memberi satu pengajaran berguna kepada remaja dalam kehidupan. Jangka masa yang pendek bersama-sama rakan sekerja dan majikan pasti meninggalkan pelbagai kesan yang menarik. Remaja menyedari betapa kehidupan social memerlukan kemahiran tinggi terutama ketika di tempat kerja. Jadi, pengalaman kerja sambilan menjadi alat untuk menjelaskan erti kehidupan sebenar kepada remaja sebelum mereka benar-benar melaluinya.

Malah, remaja mampu membentuk personality yang menarik menerusi kerja sambilan ini. Tugas di tempat kerja membina jati diri remaja yang baru kerana kerja ini memerlukan mereka menepati masa, rajin bekerja, menurut arahan, dan menggunakan minda ketika berinteraksi dengan pelanggan. Remaja yang dahulunya malas, tiada wawasan,tidak yakin diri dan sebagainya pasti berubah sebaik sahaja mereka bekerja secara sambilan ini.

Sudah pasti kelebihan ketara bekerja secara sambilan ini ialah aspek kewangan. Remaja mempunyai wang mereka sendiri yang memberi sedikit kepuasan dalam hidup. Perasaan mampu membeli sesuatu atas kemampuan kewangan sendiri sememangnya membawa satu perasaan yang tidak dapat dihuraikan. Jelaslah, kerja sambilan memberi satu kepuasan kewangan yang begitu tinggi kepada remaja.

Cuma dalam keghairahan remaja bekerja secara sambilan ini, aspek impak negatifnya harus diberi pertimbangan sewajarnya. Remaja menjadi individu yang terlalu sibuk, mementingkan kewangan, lupa tugas belajar mereka dan mungkin terlalu angkuh sehingga menganggap mereka sudah mampu hidup sendiri tanpa bantuan keluarga. Sikap terlalu rapat dengan rakan sekerja yang lebih dewasa turut mampu menjerumuskan remaja ke arah budaya yang tidak sihat.

Kesimpulannya, kerja sambilan sememangnya wajar dilakukan oleh remaja tetapi harus secara bertanggungjawab. Remaja harus menimbang dengan mendalam sebelum menyertai kerja sambilan. Bukan sahaja kebenaran ibubapa penting tetapi remaja harus bertanya kepada diri sendiri, adakah ini sesuatu yang ingin mereka lakukan? Atau mereka penuhkan masa cuti mereka dengan aktiviti berfaedah yang lain.

Pengarang: Noor Azman Mahat

Sinopsis Drama Surat Untuk Ina.

SINOPSIS
Badar dan Jais cuba mengorek rahsia Zali yang meminati seorang pengawas yang bernama Zalina. Zali tidak mengiyakan atau menidakkan perkara itu sebaliknya dia hanya tersenyum. Badar dan Jais mencadangkan supaya Zali menulis surat kepada Zalina. Zali bimbang kalau-kalau Zalina akan mengadukan perkara itu kepada Cikgu Halil, guru disiplin di sekolah mereka. Badar dan Jais meminta Zali menulis surat tanpa nama pengirim dan menyatakan niatnya yang ingin berkenalan serta bersahabat dengan Zalina. Akhirnya surat itu siap ditulis oleh Zali dan diletakkan di dalam meja Zalina.
Zalina membawa surat yang ditulis oleh Zali untuk ditunjukkan kepada Cikgu Halil. Jais bimbang rahsia Zali terbongkar. Zali agak yakin Cikgu Halil tidak akan tahu. Namun begitu, apabila Jais menyebut tentang tulisan Zali, Zali mulai bimbang. Badar Zalina tidak mungkin berani melaporkan perkara itu kepada Cikgu Halilnkerana nanti dia juga yang akan malu. Ternyata andaian Badar itu meleset. Cikgu Halil masuk ke kelas dan menyuruh semua pelajar mengeluarkan buku latihan masing-masing. Cikgu Halil meneliti tulisan dalam buku para pelajar. Beliau meneliti tulisan dalam buku Zali agak lama. Cikgu Halil meminta Zali menulis nama dan alamatnya di papan hitam. Terbuktilah bahawa tulisan dalam surat itu meyerupai tulisan Zali. Beliau meminta Zali mengakui kesalahannya.
Cikgu Halil memutuskan hukuman yang akan dikenakan terhadap Zali bergantung kepada keputusan Zalina. Zali meminta maaf kepada Zalina. Zalina memaafkan Zali dan menasihati Zali supaya tidak mengulang perbuatannya. Badar dan Jais berasa gembira.

TEMA : Kenakalan pelajar lelaki yang sedang meningkat remaja yang melanggar peraturan sekolah.

PERSOALAN
1. Perasaan tertarik kepada individu yang berlainan jantina.
2. Pengaruh rakan sebaya yang kuat terhadap remaja.
3. Peranan guru dalam menyelesaikan masalah yang timbul.
4. Amalan bermaaf-maafan merupakan amalan yang baik.
5. Ketegasan seorang pengawas untuk menguatkuasakan peraturan sekolah

WATAK DAN PERWATAKAN
• Zali : rakan Badar dan Jais, meminati Zalina, mudah terpengaruh oleh kata-kata Badar dan Jais,pelajar yang baik dan bijak,berani mengakui kesalahannya, sanggup meminta maaf atas kesalahan yang dilakukannya.
• Badar : rakan Zali dan Jais, nakal dan suka mengusik orang, tahu bahawa Zali meminati Zalina, pandai mempengaruhi Zali.
• Jais : rakan Zali dan Badar, nakal dan suka mengusik orang, tahu bahawa Zali meminati Zalina, pandai mempengaruhi Zali.
• Zalina : pengawas sekolah dan berambut panjang, bijak,cantik dan bersopan, tegas, rajin, pemaaf.
• Cikgu Halil : tidak terburu-buru dalam membuat keputusan, bijak,tegas, berfikiran terbuka.
• Fatimah : kawan baik Zalina, pustakawan sekolah.


PLOT
• Permulaan : Zali, Jais dan Badar berbual-bual di bawah pokok tentang seorang pengawas perempuan di sekolah mereka, Zalina. Zali berhasrat mahu berkenalan dengan Zalina.
• Perkembangan : Jais mencadangkan kepada Zali agar menulis surat kepada Zalina dan meletakkan surat tersebut ke dalam meja Zalina. Zali menyetujuinya. Dengan bantuan Jais dan Badar yang mengawasi persekitaran, Zali berjaya meletakkan surat tersebut di dalam meja Zalina.
• Perumitan : Fatimah marah apabila Badar, Zali dan Jais membuat bising di dalam kelas. Zalina menemui Cikgu Halil dan menyerahkan surat yang diterimanya kepada Cikgu Halil.
• Puncak : Cikgu Halil mengarahkan semua murid meletakkan buku karangan masing-masing di atas meja. Zali yang tidak membawa buku karangannya diminta menulis alamatnya di papan hitam. Perbuatan Zali terbongkar apabila tulisannya sama dengan tulisan dalam surat yang diterima oleh Zalina.
• Peleraian : Zali meminta maaf kepada Zalina atas perbuatannya dan Zalina memaafkannya.

TEKNIK PLOT
 Teknik dialog
ZALI : Kalau aku tidak tulis nama, macam mana aku hendak kenal dia.
Dan bagaimana pula dia hendak mengenali aku?
BADAR : Tadi, kau kata takut dilaporkan kepada Cikgu Halil.
 Teknik pemerian
Contoh: ZALI segera beredar ikut pintu belakang. Mereka bertiga terus berlalu. ZALINA dan rakan-rakannya masuk ke kelas. ZALINA terus duduk di dalam kelas. Selepas itu, BADAR dan rakan-rakannya masuk.
 Teknik saspens
Pembaca tertanya-tanya sama ada rahsia Zali akan terbongkar atau tidak apabila Zalina membuat keputusan menemui Cikgu Halil setelah dia menerima surat tanpa nama pengirim itu.

GAYA BAHASA
 Peribahasa : Sudahlah! Janganlah masuk bakul, angkat sendiri.
 Bahasa Inggeris : member, relax
 Sinkof : Li, kau ingat tak apa yang kautanyakan aku semalam!
 Similie : otak macam komputer dan gadis yang cantik macam bidadari.
 Repitisi : Apabila dia masuk ke kelas, dia akan buka dan membacanya.
 Anafora : Aku boleh belajar dan mengulang kaji pelajaran bersama-samanya.
Aku belajar pun, akan bertambah semangat.

LATAR
 Latar tempat : di bawah pokok, di satu kawasan lapang, di dalam kelas.
 Latar masa : waktu pagi ( waktu persekolahan ).
 Latar masyarakat
• Masyarakat sekolah: murid dan guru.
• Masyarakat murid yang gemar melanggar peraturan sekolah.
• Masyarakat yang mengamalkan sikap saling bermaafan.
• Masyarakat pengawas yang tegas menegakkan disiplin.

NILAI
• Ketegasan
• Kebijaksanaan
• Bertanggungjawab
• Bermaaf-maafan
• Patuh kepada arahan

PENGAJARAN
1. Guru mestilah tegas kepada murid yang tidak mematuhi peraturan sekolah.
2. Sikap saling bermaaf-maafan mestilah diamalkan dalam kehidupan.
3. Setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan bijak.
4. Sikap suka melanggar peraturan sekolah mestilah dihindarkan.
5. Kita mestilah tegas menjalankan tugas yang diamanahkan