Rabu, 6 Julai 2011

Syirik Dalam Islam

Oleh: Ustaz Shauqi

Syirik adalah merupakan sesuatu yang amat berbahaya. Hal ini adalah kerana apabila seseorang itu terlibat dengan perbuatan syirik, maka ia akan mengakibatkan tergelincirnya akidah seseorang muslim daripada landasan keimanan kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam al-Quran, di dalam surah al-Nisa’ ayat 116, maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukamNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh”.

Maksud daripada ayat ini ialah apabila seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan syirik dan tidak sempat bertaubat kepada Allah, maka sudah tentu akan terjerumus dalam kebinasaan untuk selama-lamanya di akhirat kelak. Hal ini adalah kerana ia tidak akan memperoleh pengampunan daripada Allah SWT. Justeru, syirik adalah merupakan suatu kesalahan yang amat besar yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun jua. Sehubungan dengan itu, nabi SAW melalui hadis yang sahih telah memberi amaran agar menjauhkan diri daripada terjebak dalam perbuatan syirik kerana ia merupakan suatu kebinasaan.

Syirik merupakan suatu kezaliman yang besar. Allah SWT telah merakamkan di dalam al-Quran nasihat Luqman terhadap anaknya melalui surah Luqman ayat 13 yang bermaksud: ”Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". Oleh yang demikian, menjadi suatu kewajipan kepada setiap individu muslim untuk mempastikan agar tidak terjebak dalam perbuatan syirik.

Mungkin masih ada yang tertanya-tanya, apakah maksud syirik sebenarnya? Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan sesuatu yang lain iaitu makhluk sekutu bagi Allah. Firman Allah dalam al-Quran Surah al-Ma’idah, ayat 72 bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka”.

Perbuatan syirik boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata). Syirik jali ialah syirik yang dilakukan secara jelas dan terang yang menjerumuskan seseorang itu ke dalam lembah kekufuran. Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu:

  • Menerusi iktiqad: Contohnya ialah meragui atau menafikan kewujudan Allah dan berkeyakinan bahawa sistem ciptaan manusia lebih baik dan sempurna daripada sistem dan perundangan yang diciptakan Allah.
  • Menerusi perbuatan atau amalan: Contohnya adalah seperti perbuatan menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Begitu juga termasuk dalam kategori ini ialah perbuatan memuja kubur atas dakwaan kubur itu keramat atau meminta bantuan bomoh yang menggunakan makhlus halus dalam perubatan dan sebagainya.
  • Menerusi lidah atau perkataan: Contohnya adalah seperti menghalalkan perkara haram atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan.

Syirik khafi pula ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik daripada kategori ini banyak berkaitan dengan perbuatan riyak di dalam beramal atau dalam melakukan sesuatu perkara. Rasulullah SAW pernah menasihatkan para sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh para sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Maka Rasulullah SAW pun menjawab bahawa syirik kecil yang dimaksudkan ialah riyak dalam melakukan amalan.

Syirik Melalui Bomoh

Antara amalan yang dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam pada hari ini yang melibatkan perbuatan syirik ialah dengan meminta bantuan bomoh yang menggunakan perantaraan jin dan makhluk halus dalam perubatan. Sesuatu yang menghairankan ialah semakin dunia menjadi canggih dengan pelbagai kemajuan sains dan teknologi, keterlibatan masyarakat dalam hal-hal syirik seumpama ini pun semakin menjadi-jadi dan berleluasa.

Sesuatu yang lebih menghairankan ialah terdapatnya golongan terpelajar di bidang pengajian Islam pun terlibat dalam hal syirik yang seumpama ini. Apakah ilmu yang dipelajari itu tidak boleh dijadikan benteng untuk menyekat diri daripada melakukan syirik kepada Allah? Atau ilmu yang dipelajari hanyalah sekadar untuk ’mencari makan’ semata-mata?.

Larangan meminta bantuan, pertolongan dan perlindungan jin dalam sesuatu perkara sudah pun jelas dinyatakan hukumnya di dalam al-Quran. Antaranya ialah firman Allah dalam surah al-Jin ayat 6 yang bermaksud: ”Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki dalam kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dalam kalangan jin, maka jin-jin itu menambahkan bagi mereka dosa dan kesalahan”.

Kekeliruan juga timbul apabila seseorang bomoh itu menyatakan bahawa yang mendampinginya untuk melakukan perubatan itu bukanlah jin tapi roh para wali seumpama Syeikh Abdul Qadir Jailani yang akan datang meresap dalam tubuh bomoh tersebut ketika upacara perubatan dilakukan. Apa yang lebih menariknya ialah amalan perubatan biasanya dimulakan dengan ayat-ayat suci al-Quran, menyebabkan pesakit yang datang begitu mudah mempercayainya.

Setelah itu iaitu setelah beberapa ketika, ’roh’ para wali yang dimaksudkan itu pun mula masuk ke dalam tubuh bomoh tersebut dan terus berkomunikasi dengan pesakit dengan bahasa Melayu atau dengan loghat Jawa dengan ia memperkenalkan dirinya. Sebagai contohnya, ia mengaku sebagai Syeikh Abdul Qadir Jailani. Amalan seumpama ini dinamakan juga sebagai amalan ’menurun’.

Persoalannya, sejak bilakah Syeikh Abdul Qadir Jailani mengikuti ’kursus’ Bahasa Melayu sehingga dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik? Justeru, semua ini adalah suatu penipuan daripada jin ke atas manusia. Hal ini kerana sesuatu yang pasti ialah alam roh tidak akan bersatu dengan alam ‘syahadah’ dalam kalangan manusia. Oleh itu, sesuatu yang mustahil ‘roh’ akan datang bertemu manusia dalam keadaan sedar dan jaga. Akan tetapi sebaliknya yang datang itu bukanlah roh, namun ia adalah jin!. Lalu sama ada sedar atau pun tidak, seseorang itu telah melakukan syirik kepada Allah dengan meminta bantuan dan perlindungan ‘jin’ dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

Sehubungan dengan itu, masyarakat hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam setiap tindakan dan amalan agar tidak terjebak dalam syirik yang membinasakan. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapatnya ‘bomoh’ atau pengamal perubatan Islam yang melaksanakan perubatan semata-mata dengan ayat-ayat suci al-Quran yang sudah tentu tidak mendatangkan syirik kepada Allah. Justeru, sebelum berjumpa dengan mana-mana pengamal perubatan tradisional, hendaklah terlebih dahulu dipastikan bahawa ia seorang yang berilmu serta tahu hukum-hakam agama dengan baik.

Sekiranya didapati bahawa pengamal perubatan itu boleh bertukar ‘suara’, atau menggunakan kaedah ‘menurun’ dan seumpamanya, maka hendaklah dijauhi daripadanya agar terselamat daripada syirik. Janganlah terpedaya dengan seseorang yang boleh melakukan sesuatu perkara ‘luar biasa’ sehinggakan terus menganggap ia sebagai wali dan keramat. Ingatlah pesanan Imam Syafei yang menyatakan : ‘sekiranya engkau melihat pelaku bid’ah boleh terbang di angkasa, maka janganlah engkau tertipu dan terpedaya dengannya’.

cara menjawab Kertas 1 (PMR)

BAHAGIAN A.

1. PANDUAN MEMBUAT RINGKASAN BAHASA MELAYU PMR. ( 20 MARKAH )

  1. Jumlah perkataan- 80 perkataan sahaja ( tulis di bahagian bawah sebelah kanan ).
  2. Perenggan- 1 perenggan. Tiada pengenalan dan kesimpulan.
  3. Jumlah isi- 5-6 isi sahaja.
  4. Sintaksis- ringkas & padat.
  5. Dilarang menyalin bulat-bulat ayat dalam teks soalan. Cara membina ayat sendiri ialah dengan

i. menukar dengan perkataan yang sama makna/ seerti.

ii. Menambahkan penanda wacana di pangkal ayat.

  1. Mesti ada 3 penanda wacana ( Selain itu, Sehubungan dengan itu, Justeru, Dalam pada itu, Oleh hal yang demikian, Di samping itu, Namun demikian, Walau bagaimanapun).

  1. Pengiraan perkataan berikut- SATU PATAH PERKATAAN SAHAJA.

Kata nama khas- nama orang, tempat, judul buku dll

Kata sendi- kepada, daripada, ke, dari.

Kata hubung- biarpun, sungguhpun, walaupun, dll.

Penanda wacana- Selain itu, Sehubungan dengan itu, Justeru, dll

Kata ganda- murid-murid, kuih-muih, hormat-menghormati dll

Kata majmuk- beg tangan, kereta api, adat istiadat dll

Tarikh- 20 April 2007

Peribahasa/simpulan bahasa- anak emas, ulat buku, hati batu dll

8. Sila semak kesalahan ejaan, tatabahasa dan tanda baca sebelum menghantar kertas

jawapan anda kepada pengawas peperiksaan.

9. Pemarkahan ringkasan.

Markah isi ( 10 markah )- 1 isi = 2 markah.

Bahasa ( 10 markah ).

- Bahasa amat baik dan cukup lancar.

- Pembinaan ayat berdasarkan kata yang tepat, ayat gramatis.

- Penanda wacana yang sesuai.

- Ejaan dan tanda baca yang betul.

10. Kelemahan pelajar membuat ringkasan

- Bahasa kurang lancar.

- Ayat, ejaan dan tanda baca mempunyai kesalahan ketara.

- Memilih ayat dalam petikan atau disalin terus daripada petikan asal.

- Melebihi 80 patah perkataan.

- Isi kurang.

- Pelajar menyalin bulat-bulat teks.Jangan amalkan perbuatan ini. BAHAYA. Markah

anda akan ditolak sebanyak 50%.

11. Contoh soalan ringkasan

i. Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis suatu ringkasan tentang

usaha-usaha memupuk sifat penyayang dalam kalangan masyarakat.

ii. Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis suatu ringkasan tentang

langkah-langkah berjimat cermat. ( PMR 2006 ).

iii. Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis suatu ringkasan tentang

kesan-kesan buruk pencemaran alam sekitar.

iv. Tulis sebuah ringkasan tentang faktor-faktor para pelajar kurang berminat

untuk mengunjungi perpustakaan di sekolah.

v. Tulis sebuah ringkasan tentang usaha-usaha untuk mencapai kegemilangan sukan di negara kita.

2. Panduan menjawab soalan kefahaman ( 10 markah ).

Soalan 1. Maksud rangkai kata- berikan maksud berdasarkan dalam petikan soalan.Biasanya 2 patah perkataan sahaja. Jawapan pelajar mesti 2 patah perkataan juga. 2 markah )

Soalan 2. Soalan pemahaman berdasarkan petikan. Jawapan pelajar mesti berdasarkan petikan dan pelajar perlu mencari jawapan dalam petikan tersebut. Antara soalan ialah Nyatakan 2 kesan/cara/faktor/kaedah/ dll- pelajar mesti kemukakan 2 jawapan yang tepat. ( 4 markah )

Soalan 3. Soalan pemahaman yang memerlukan pelajar memberikan pendapat atau penjelasan berdasarkan pemahaman terhadap petikan. Jawapan jangan ditiru bulat-bulat berdasarkan petikan. Contoh soalan ialah Berikan pendapat anda…….. 2 isi perlu dikemukakan. ( 4 markah ).

BAHAGIAN B ( Karangan Bahan Rangsangan ).

  1. Jumlah perkataan- Tidak melebihi 120 patah perkataan . ( tulis di bahagian bawah sebelah kanan ).
  2. Perenggan- 5/6 perenggan.

1 Perenggan- Pendahuluan.

3/4 Perenggan- Isi/huraian

1 Perenggan- Penutup.

  1. Jumlah isi- 3 / 4 isi sahaja.
  2. Sintaksis- ringkas & padat.
  3. Mesti ada 3 penanda wacana atau lebih

( Selain itu, Sehubungan dengan itu, Justeru dll ).

  1. Pemarkahan – pemeriksaan keseluruhan dan markah karangan akan ditentukan

berdasarkan gred markah yang telah ditetapkan.

  1. Kesalahan tatabahasa akan menyebabkan markah pelajar akan ditolak.
  2. Ciri-ciri karangan yang cemerlang ( Peringkat Cemerlang iaitu 16- 20 markah ).

- Ayat yang gramatis.

- Kosa kata yang luas dan tepat.

- Tiada kesalahan ejaan dan tanda baca.

- Hanya kesalahan minimum pengunaan kata.

- Isi menepati kehendak soalan

- Huraian isi matang dan berkembang.

- Pengolahannya yang menarik dan berkesan.

PEMBINAAN KARANGAN BAHAN RANGSANGAN

  1. Cara membuat pendahuluan. ( 2&3 ayat sahaja ).

Hendaklah membincangkan tajuk bahan rangsangan yang diberikan.

Mesti menyentuh pernyataan tentang tajuk bahan rangsangan dan isu yang berkaitan dengan kehendak soalan.

b. Cara menulis isi karangan.

Setiap perenggan mesti ada ISI UTAMA + ISI SAMPINGAN + CONTOH.

Setiap perenggan mesti ada pertalian dengan menggunakan penanda wacana.

c. Cara penulisan penutup.

Buatlah rumusan berserta cadangan, pandangan, bagi keseluruhan isi yang terkandung dalam dalam tajuk bahan rangsangan.

BAHAGIAN C ( KARANGAN UMUM ) 40 MARKAH.

  1. Jumlah perkataan- Melebihi 180 patah perkataan . ( tulis di bahagian bawah sebelah kanan ).
  2. Perenggan- 5/6 perenggan.

1 Perenggan- Pendahuluan.

4 Perenggan- Isi/huraian/contoh/bukti- angka,pendapat tokoh,hasil kajian dll

1 Perenggan- Penutup.

  1. Jumlah isi- 3 / 4 isi sahaja.
  2. Sintaksis- ringkas & padat.
  3. Mesti ada 3 penanda wacana atau lebih

( Selain itu, Sehubungan dengan itu, Justeru dll ).

  1. Pemarkahan – pemeriksaan keseluruhan dan markah karangan akan ditentukan

berdasarkan gred markah yang telah ditetapkan.

  1. Kesalahan tatabahasa akan menyebabkan markah pelajar akan ditolak.

PEMBINAAN KARANGAN.

Contoh Soalan – Kejadian tanah runtuh yang berlaku di negara kita telah banyak mengorbankan nyawa manusia. Huraikan cara-cara untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh berulang.

i. Cara menulis pendahuluan.

- Pastikan 1 perenggan sahaja.

- Gambaran awal tentang karangan yang hendak ditulis.

- Mecetuskan isu yang hendak dikemukakan dengan pernyataan yang merangsang pemikiran dan menarik perhatian pemeriksa.

- Boleh selitkan pendapat tokoh ternama, bukti dan angka sesuatu peristiwa, persoalan berjawab dll.

Contoh pendahuluan-

Kejadian tanah runtuh banyak mendatangkan kerugian. Banyak nyawa yang terkorban dan harta benda musnah ditimpa tanah runtuh. Siapakah yang patut dipersalahkan dalam hal ini? Hal ini menyebabkan pihak berkuasa digesa untuk mencari jalan yang sesuai bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh berulang.

ii. Cara menulis isi karangan.

- Setiap perenggan mesti ada ISI UTAMA + ISI SAMPINGAN + CONTOH.

- Setiap perenggan mesti ada pertalian dengan menggunakan penanda wacana.

- Pastikan tidak berlaku pengulangan isi.

- Formula ( Isi Utama + Mengapa / Bagaimana + Kesan/ Contoh )

Contoh Isi karangan

Selain itu, pembinaan rumah atau bangunan di kawasan lereng bukit perlulah dilarang. Hal ini demikian kerana tanah di kawasan tersebut mudah runtuh akibat hakisan tanah. Perkara ini membahayakan nyawa sesiapa saja yang tinggal di kawasan tersebut. Hal ini dapat dibuktikan dengan kejadian runtuhnya Highland Tower yang mengorbankan banyak nyawa.

iii. Cara menulis penutup karangan

- Buat satu rumusan atau kesimpulan yang anda huraikan.

- Jangan ulangi fakta yang telah anda gunakan dalam perenggan isi.

- Formula ( Rumusan utama + Bagaimana + Kesan )

Contoh- Kesimpulannya, ( RUMUSAN UTAMA ). kerjasama semua pihak diperlukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh . ( BAGAIMANA ). Masyarakat perlu memupuk kesedaran terhadap pentingnya pemuliharaan alam sekitar. ( KESAN )Usaha ini diharapkan dapat mencegah kejadian tanah runtuh daripada berulang lagi pada masa akan datang.

Soalan karangan yang popular.

  1. Soalan berbentuk pengalaman seseorang- aktiviti di sekolah.
  2. Surat Rasmi dan Tidak Rasmi.
  3. Karangan Laporan.
  4. Karangan Perbincangan/Pendapat.
  5. Karangan Bertajuk Peribahasa.
  6. Karangan Cereka/keperihalan.
  7. Karangan Syarahan/perbahasan

BAHAGIAN D ( KOMSAS ) 10 MARKAH.

  1. Jumlah isi- 3 isi sahaja. 1 isi = 2 markah.
  2. Perenggan- 3 perenggan.
  3. Setiap isi wajib/mesti disertai dengan huraian atau contoh.

PENTING !!!!! Tanpa contoh tiada markah.

  1. Permarkahan- Isi ( 6 markah )

- Bahasa ( 4 markah ).

5. Topik penting dalam Komsas

1. Huraikan tema yang terdapat dalam novel yang anda kaji ( 10 markah )

2. Jelaskan persoalan-persoalan yang terkandung dalam novel yang anda kaji

( 10 markah ).

3. Huraikan perwatakan watak utama dalam novel yang anda kaji. ( 10 markah ).

Bandingkan perwatakan watak utama dengan watak sampingan dengan memberikan

contoh yang sesuai. ( 10 markah ).

4. Huraikan mesej/amanat/pengajaran yang anda peroleh dalam novel yang anda kaji

( 10 markah ).

5. Nyatakan nilai-nilai kemanusiaan yang anda ketahui dan huraikan dengan memberi contoh yang sesuai ( 10 markah ).

  1. Jelaskan citra masyarakat yang terkandung dalam novel yang anda kaji 9 10 markah ).
  2. Huraikan citra wanita yang dapat dilihat dalam novel yang anda kaji ( 10 markah ).
  3. Nyatakan gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang anda kaji dan nyatakan contoh yang sesuai.
  4. Jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan latar dan huraikan jenis latar yang anda ketahui ( 10 markah ).
  5. Jelaskan teknik plot yang anda peroleh dalam novel yang anda kaji ( 10 markah ).

FORMULA MENJAWAB SOALAN KOMSAS

( BARNIAT HORJIN )

BAR = SABAR

NI= BERANI

AT= TAAT

HOR= HORMAT

JIN= RAJIN.

Novel yang saya kaji ialah Novel Ekspedisi karya Mohd. Ghazali Tocheh. Persoalan-persoalan yang terdapat dalam novel ini antaranya persoalan kesabaran menghadapi cabaran hidup. Hal ini dapat dibuktikan pada watak Hadi yang sabar menghadapi karenah bapanya Pak Salleh yang begitu membenci Cikgu Murad.

Selain itu, Persoalan keberanian menghadapi pelbagai rintangan dan halangan hidup. Hal ini dapat dibuktikan pada watak Hadi yang amat berani menghadapi bahaya bermalam di dalam sungai ketika mengikuti ekspedisi Gunung Itik.

Dalam pada itu, ketaatan kepada orang tua antara persoalan yang terdapat dalam novel ini. Hal ini dapat pada watak Hadi yang taat kepada orang tuanya Pak Salleh dan Mak Jamilah.Begitu juga Hadi taat kepada arahan Pak Musa semasa berada di dalam hutan ketika mendaki Gunung Itik.

Persoalan hormat kepada guru dan orang yang lebih tua. Hal ini dapat dilihat pada watak Hadi yang menghormati gurunya iaitu Cikgu Murad dengan mematuhi nasihatnya.Hadi juga hormat akan ibu bapa Pak Salleh dan Mak Jamilah dengan tidak meninggikan suara semasa bercakap.

Persoalan kerajinan dalam menjalankan tugas. Hal ini dapat dibuktikan pada watak Hadi yang rajin membantu ibu bapa dengan membasuh pinggan selepas makan. Hadi juga rajin membuat kerja sekolah dan mengikuti aktiviti di sekolah.

Selasa, 5 Julai 2011

Latihan keslahan bahasa

Latihan membetulkan ayat dalamPMR

Kelas Tambahan PMR 2011

Setiap ayat di bawah mengandungi kesalahan dalam tatabahasa. Cuba betulkan kesalahan tersebut.

1. Andaikata kau menjadi bulan, biar aku menjadi pungguknya.

2. Perabot itu diperbuat dari kayu jati.

3. Saya mengunjungi sepupu saya di Johor Bharu.

4. Tolong emelkan senarai harga barang itu dengan segera.

5. Finas telah menghantar sepuluh orang deligasi ke Festival Filem Cannes.

6. Banyak premis-premis perniagaan mengadakan jualan murah sempena musim perayaan.

7. Berbanyak terima kasih saya ucapkan kepada para panel hakim kerana sudi berkongsi pandangan pada petang ini.

8. Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-XII telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun lepas.

9. Kempen anti-dadah di seluruh negara telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.

JAWAPAN:

1. Andaikata > Andai kata, kau menjadi > kaumenjadi

2. dari > daripada

3. Johor Bharu > Johor Bahru

4. emelkan > e-melkan

5. deligasi > delegasi

6. Banyak premis-premis > Banyak premis

7. Berbanyak > Berbanyak-banyak

8. ke-XII > ke XII

9. anti-dadah > antidadah