Sabtu, 16 April 2011

Seloka

SELOKA

Apakah Seloka

Istilah seloka berasal daripada perkataan Sanskrit shloka. Dalam bahasa Melayu, seloka bererti berseloroh, berjenaka atau menyindir. Seloka merupakan puisi yang paling tua dalam kesusasteraan Melayu. Seloka dipercayai datang ke alam Melayu bersama-sama perkembangan agama Hindu di Asia Tenggara. Teks Mahabarata dan Ramayana merupakan buku terawal yang tertulis dalam bentuk seloka.

Sebagai puisi tradisional, karangan berangkap atau bahasa berirama, seloka lebih merupakan pepatah, bidalan atau perumpamaan yang mengandungi unsur jenaka, gurau senda, olokan, ejekan dan sindiran. Walaupun seloka merupakan puisi yang bercorak senda gurau namun isinya mengandungi sindiran yang menjadi pengajaran dan teladan kepada pembaca. Kebanyakan seloka Melayu ditulis dalam bentuk terikat yakni empat baris serangkap dengan memakai bentuk pantun atau syair. Selain itu seloka juga ditulis dalam bentuk bebas iaitu setiap barisnya menjadi isi puisi berkenaan.

(a) Ciri-ciri Seloka

Seloka mempunyai beberapa ciri seperti berikut :

i) Karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi rima hujung yang bebas.

ii) Terbahagi kepada unit pembayang (induk kalimat) dan unit maksud (anak kalimat)

iii) Perkataan sindiran atau ejekan disampaikan dalam bentuk berangkap.

iv) Mengandungi unsur jenaka atau gurau senda

v) Digunakan untuk menyindir sambil mengajar.

(a) Jenis Seloka

Seloka dijeniskan berdasarkan bentuk iaitu seloka berbentuk bebas dan seloka berbentuk terikat.

Contoh seloka bentuk bebas :

Aduhai malang Pak Kaduk

Ayamnya menang kampung tergadai

Ada nasi dicurahkan

Awak pulang kebuluran

Mudik menongkah surut

Hilir menongkah pasang;

Ada isteri dibunuh

Nyaris mati oleh tak makan

Masa belayar kematian angin

Sauh dilabuh bayu berpuput

Ada rumah bertandang duduk. (Anak Laut, hlm. 9)

Contoh seloka bentuk terikat (bentuk pantun/ syair) :

Buah pinang buah belimbing,

Ketiga dengan si buah mangga;

Sungguh senang berbini sumbing,

Walau marah ketawa juga. (Warisan Puisi Melayu, hlm. 67)

Dapatlah dirumuskan bahawa puisi Melayu tradisional seperti pantun, syair, gurindam dan seloka adalah pancaran nilai dan pemikiran masyarakat Melayu tradisional. Bentuk dan isi pemikirannya bukan sahaja berguna dalam konteks zamannya malah releven untuk setiap masa, ruang dan latar masyarakat Melayu atau Malaysia hari ini.

Bagaimana menghasilkan Seloka

a) Sebelum pelajar mencipta seloka, harus terlebih dahulu difahami dengan jelas ciri serta bentuk seloka sepertimana dibincangkan pada bahagian awal tulisan ini.

b) Pelajar juga harus memahami dengan jelas fungsi penggunaan seloka terutama konteks masa/ suasana, tempat, sasaran pendengar dan mesej yang ingin disampaikan agar sesuai serta pendengar dapat menerimanya secara santai.

c) Pilihlah perkataan, frasa atau ayat yang kedengarannya lembut tapi berbekas di hati dan perasaan. Elakkan dari menggunakan perkataan yang kasar (kata-kata yang dianggap taboo serta lucah) kerana ia mungkin akan menimbulkan rasa sensitif yang boleh memudaratkan pencipta atau pengucap.

d) Ada dua bentuk seloka yang boleh dicipta iaitu seloka bentuk terikat (pantun seloka ) dan seloka bentuk bebas.

Mencipta seloka bentuk terikat (pantun seloka)

Pelajar bolehlah menciptanya (gunakan ciri bentuk) sepertimana mencipta pantun atau syair;

  • empat baris serangkap
  • empat patah perkataan sebaris
  • 8-12 suku kata sebaris
  • skima rima tengah/ hujung ab;ab atau aa;aa
  • ada pembahagian pembayang dan maksud atau seluruhnya maksud

Contoh :

Seloka bentuk pantun

Apa guna pergi ke pasar

Kalau tidak bawa keranjang

Apa guna berkereta besar

Kalau hutang keliling pinggang

(Dibina dengan baris pembayang dan maksud, skima rima ab;ab, bernada jenaka)

Seloka bentuk syair

Ada seorang anak dara

Pandai melaram pandai bergaya

Tak pandai masak pun tak apa

Nanti kawin Datok kaya

(Dibina seluruhnya maksud, skima rima aa;aa, bernada lucu)

Mencipta seloka bentuk bebas

i) Terlebih dahulu harus difikirkan satu idea utama (tema) untuk dijadikan bahan kritikan/ sindiran.

ii) Kemudian fikirkan pula idea-idea sampingan yang boleh menyokong idea utama (persoalan)

iii) Idea utama/ idea sampingan berfungsi sebagai induk kalimat

iv) Idea utama dan idea sampingan memerlukan huraian tertentu untuk menjelaskannya. Huraian berkenaan berfungsi sebagai anak kalimat.

v) Tidak ditentukan pada baris manakah letaknya induk kalimat ; boleh di awal pertengahan atau akhir rangkap.

vi) Fokuskan perbincangan serta huraian pada aspek sifat dan sikap watak atau situasi cerita yang menjadi subjek sindiran.

vii) Pastikan sindiran-kritikan akhirnya menjurus ke arah mengajar-mendidik atau memberi peringatan kepada pendengar agar tidak melakukan perbuatan tidak elok sepertimana tergambar pada perlakuan watak atau situasi cerita berkenaan. viii) Pastikan bahasa yang digunakan tetap kedengaran sopan, berlapik serta berkias, sungguhpun terasa berbisa kepada orang yang mungkin melakukannya.

ix) Tidak ada had bagi jumlah kata sebaris atau jumlah baris serangkap. Juga tidak dihadkan jumlah baris yang menjadi induk kalimat dan jumlah baris yang menjadi anak kalimat. Bergantung kepada kesesuaian perlukisan watak atau gambaran situasi.

x) Rima tengah / rima hujungnya juga tidak ditentukan pola (rima bebas), namun seelokknya ada unsur permainan bunyi (asonansi/ aliterasi) agar kedengaran indah sewaktu dilafazkan.

Contoh seloka bebas.

Anak Bertuah

Bertuahnya anak aku*

Belajar pandai sampai universiti;

Kerja besar gaji besar

Bini cantik kereta antik

Rumah pula tepi bukit

Aku juga sakit-sakit

Bertuahnya anak aku;*

Meeting sana meeting sini

Dalam negeri luar negeri

Kampung laman tak peduli

Ayah sakit ibu mati apa peduli;

Buat duit atas duit

Baju koyak seluar carik

Bertuah sungguh anak aku.*

(Tidak ditentukan jumlah kata, jumlah baris dan skima rima. Baris 1, 7 dan 14 adalah induk kalimat. Baris-baris lain adalah anak kalimat. Subjek yang difokuskan adalah perwatakan anak yang tidak mengenang jasa ayah dan ibu)

e) Perlu diingatkan bahawa gaya penyampaian idea dan mesej adalah bercorak jenaka - sindiran dengan menggunakan nada lucu – bersahaja.

f) Untuk tujuan itu, pemilihan kata, frasa, ayat mahu pun cara mengungkapkan sindiran harus diteliti dengan penuh hemah dan bijaksana.

g) Sering orang melupakan, bahawa salah satu sifat khusus seloka adalah puisi yang dibina sebagai sampiran untuk merumuskan perwatakan atau situasi (cerita jenaka). Hal ini terlihat pada kisah Pak Kaduk, Pak Pandir, Lebai Malang, Emak Si Randang ; sifat watak dalam cerita jenaka berkenaan dirumuskan dalam bentuk seloka.

h) Sehubungan itu, sebaiknya seloka dicipta sebagai rumusan watak/ situasi dalam sebuah cerita jenaka. Ini bererti pelajar perlu mencipta sebuah cerita jenaka dengan mengetengahkan seorang watak yang dominan terlebih dahulu sebelum menghasilkan seloka.

i) Hal ini menjelaskan bahawa seloka sebenarnya bukanlah bentuk puisi yang bebas tercipta sendirian, tapi merupakan puisi sisipan untuk sebuah cerita jenaka.

Bagaimana pempersembahkan (apresiasi) Seloka

Sama seperti puisi tradisional lain, seloka juga boleh dilafazkan atau pun dilagukan. Namun sebaiknya seloka dilagukan demi memenuhi tuntutan konsep seloka yang bererti puisi lirik yang mengandungi irama atau lagu.

Jika pelajar memilih untuk melafazkan seloka beberapa panduan mudah boleh dipraktiskan.

1) Fahami dan hayati setiap patah perkataan.

2) Cuba praktis membunyikan perkataan berkenaan dengan jelas dan mengikut nada yang sesuai.

3) Gunakan cermin untuk melihat gerak wajah (permainan mata, bibir, mulut, kening) yang bersesuaian dengan kata-kata yang dilafazkan.

4) Timbulkan unsur menyindir dan lucu bila menyebut perkataan atau ayat berkenaan.

5) Hayati patah kata/ frasa atau ayat. Rasai nada ucapan kata berkenaan dan lontarkan suara mengikut memik muka lucu-menyindir.

6) Pernah seorang professor sastera/ puisi memberitahu bahawa cara paling sesuai melafazkan seloka ialah dengan cara menyebut perkataan sambil memuncungkan bibir serta membeliak/ menjulingkan mata (sepertimana mimik muka orang yang sedang mengumpat/ menyindir). Cubalah !

7) Bila menyebut patah kata, ada kata yang perlu diucapkan dengan laju, keras, nyaring; ada pula yang lembut, lambat dan perlahan. Oleh itu pelbagaikan tekanan suara dan kelajuan patah perkataan.

Jika pelajar memilih untuk melagukan seloka pula, beberapa perkara perlu dipertimbangkan ;

1) Nada atau irama yang sesuai adalah irama yang rancak/ cepat.

2) Seloka tidak sesuai dialunkan dengan irama perlahan mendayu. Ini kerana, seloka bersifat lucu-menyindir. Hendak menyindir atau mengata orang tidak boleh lambat-lambat (nanti kepala benjol !). Lafazkan cepat-cepat, lepas itu angkat kaki (selamatkan diri!).

3) Mungkin agak sesuai jika iramanya ada unsur irama Hindustan atau pengaruh melodi India, sesuai dengan asal kedatangannya dari peradaban Sanskrit Hindu.

4) Pelajar sebenarnya bebas untuk melagukan seloka mengikut kesesuaian irama dan mesej yang hendak disampaikan (asalkan berirama rancak !).

5) Pelajar boleh mendengar contoh lagu seloka yang dimuatkan dalam CD Puisi Tradisional terbitan Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia atau CD Puisi Tradisional yang diusahakan oleh Iladam (Budayawan Melaka) yang dikeluarkan oleh Yayasan Kesenian Negeri Melaka atau hubungi Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bagaimana mengajarkan seloka

Persediaan Mengajar

Genre : Puisi Tradisional

Tajuk : Seloka Pak Kaduk

Tingkatan : 4 Biru

Bilangan Pelajar : 30 orang

Masa : 80 minit

Fokus Utama

10.5 Menghuraikan maksud, gaya bahasa, dan unsur bunyi dalam puisi.

Aras 2 : iii Memahami dan menghayati nilai dalam karya untuk dijadikan iktibar dalam kehidupan.

Fokus Sampingan

1.4 Bersoal jawab secara bertatasusila tentang sesuatu perkara dengan menggunakan pelbagai soalan.

Aras 1 : v Menyoal dengan menggunakan teknik lingkaran soalan pelbagai aras untuk meneruskan perbualan.

1.6.1 Menyatakan perasaan secara berterus terang dan beradab tentang sesuatu perkara untuk mengekalkan hubungan.

Aras 1 : vii Membuat penilaian kendiri dan mengungkapkannya kepada orang lain untuk berkongsi pengalaman.

Objektif : Pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid dapat:

1. Menghurai maksud keseluruhan seloka dengan menggunakan ayat yang lengkap.

2. Menjelaskan tiga gaya bahasa seloka dengan menggunakan borang pengurusan grafik.

3. Menyenaraikan lima nilai positif seloka dengan gaya bahasa sendiri

Sistem Bahasa :

Kosa kata : kampung tergadai, menongkah surut, menongkah pasang, mudik, hilir, kematian angin, sauh, bayu, bertandang duduk.

Kemahiran Bernilai Tambah :

Kemahiran berfikir : Menjana idea, mengenalpasti, mencari maklumat

Kemahiran belajar cara belajar : Pengurusan grafik, penulisan jurnal, refleksi

Strategi: Pembelajaran koperatif dan kolaboratif, kajian masa depan, kontekstual

Pengisian Kurikulum :

Ilmu : Sosiobudaya, geografi

Nilai : Kasih sayang, kemasyarakatan, kebijaksanaan, rasional

Bahan Bantu Belajar (BBB) :

Gambar, kertas A4, lembaran petikan seloka/ buku teks Anak Laut hlm.9, kompang, kertas mahjung, marker pen, transparensi, pen transparensi, lembaran pengurusan grafik, kad kata.

Langkah Pengajaran dan Pembelajaran

1. Pelajar ditunjukkan sekeping gambar/ lakaran wajah seseorang bertulis ‘Pak Kaduk’. (Lampiran 2.1)

  1. Pelajar dan guru berbincang secara ringkas tentang gambar berkenaan berdasarkan pengetahuan sedia ada mereka mengenai sifat dan perwatakan Pak Kaduk yang mungkin diketahui melalui cerita rakyat. Guru mengaitkannya dengan tajuk pelajaran hari ini iaitu puisi tradisional bertajuk Seloka Pak Kaduk.
  2. Guru mengarahkan pelajar membentuk lima kumpulan kecil mengandungi enam orang bagi satu kumpulan untuk melaksanakan aktiviti respon pembaca dengan teknik penulisan jurnal (Lampiran 2.2). Setiap kumpulan perlu melantik ketua dan setiausaha masing-masing.
  3. Guru mengedarkan sehelai kertas kosong A4 bertanda ‘sebelum membaca’ (Lampiran 2.3) kepada setiap kumpulan. Setiap ahli dalam kumpulan diarah mencatat secara reflektif dan koloboratif mengenai jangkaan mereka terhadap sifat dan perwatakan Pak Kaduk yang mungkin digambarkan melalui puisi berkenaan.
  4. Ketua kumpulan merumuskan pendapat ahli kumpulan. Wakil kumpulan membentangkan rumusan berkenaan.
  5. Guru mengedarkan petikan Seloka Pak Kaduk / teks Anak Laut, hlm.9 (Lampiran 2.4). Murid diarah membaca petikan berkenaan secara senyap. Selepas itu, dua orang murid diarahkan membaca petikan secara kuat mengikut nada dan intonasi yang sesuai dengan bimbingan guru.
  6. Guru mengedarkan sehelai kertas kosong A4 bertanda ‘semasa membaca’ (Lampiran 2.5) kepada setiap kumpulan. Setiap ahli dalam kumpulan diarah mencatat satu isi penting seorang secara berurutan. Catatan adalah berbentuk reflektif dan koloboratif.
  7. Ketua kumpulan merumus catatan ahli. Wakil kumpulan membentangkan rumusan berkenaan.
  8. Guru memperkenalkan lagu Seloka Pak Kaduk. Guru membimbing pelajar melagukan seloka dengan baik.
  9. Guru mengedarkan lembaran pengurusan grafik berkenaan gaya bahasa seloka (Lampiran 2.6). Murid diminta berbincang dan melengkapkan borang berkenaan. Wakil kumpulan membentang hasil perbincangan.
  10. Guru mempamerkan kad kosa kata terpilih yang diambil daripada Seloka Pak Kaduk (Lampiran 2.7). Pelajar di arah menjelaskan erti berdasarkan konteks ayat/ puisi. Seterusnya membina ayat gramatis berdasarkan kosa kata berkenaan.
  11. Guru mengedarkan kertas kosong A4 bertanda ‘selepas membaca’ kepada setiap kumpulan (Lampiran 2.8). Ahli kumpulan di arah menilai kembali tanggapan mereka terhadap watak Pak Kaduk sebelum dan semasa membaca berdasarkan isi seloka Pak Kaduk. Seterusnya menyenaraikan tiga nilai yang didapati daripada puisi berkenaan. Ketua kumpulan membuat rumusan. Wakil kumpulan membentangkan hasil perbincangan.
  12. Guru dan murid membuat rumusan pelajaran puisi Seloka Pak Kaduk.
  13. Penutup : Guru dan murid sama-sama mendendangkan Seloka Pak Kaduk.