Sabtu, 16 April 2011

Pantun- BM Tingkatan 1 ( Sambungan)

(b) Jenis Pantun

Pantun terbahagi kepada beberapa jenis berdasarkan bentuk dan isi. Berdasarkan bentuk, pantun diklasifikasikan kepada pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat, dan dua belas kerat.

Contoh pantun dua kerat :

Banyak udang banyak garam,

Banyak orang banyak ragam. (Sehijau Warna Daun, hlm. 3)

Contoh pantun empat kerat :

Tenang tenang air di laut,

Sampan kolek mudik ke tanjung;

Hati terkenang mulut menyebut,

Budi sedikit rasa nak junjung. (Sehijau Warna Daun, hlm. 4)

Contoh pantun enam kerat :

Penakik pisau raut,

Ambil galah sebatang lintabung,

Seludang dijadikan nyiru;

Setitik dijadikan laut

Sekepal dijadikan gunung,

Alam terbentang dijadikan guru. (Kerusi, hlm. 3)

Contoh pantun lapan kerat :

Sarang merbah di celah dahan,

Tempat punai bermain di situ,
Berkejar-kejaran anak rusa,

Tampak dari tanah seberang;

Bersyukur aku kepada tuhan,

Kalau nasib memang begitu,
Akan merana sepanjang masa,

Harap pada kasihan orang. (Kerusi, hlm. 4)

Berdasarkan isi, (tema dan persoalan) pantun dibahagikan kepada pantun budi, kanak-kanak, perpisahan, hiburan, teka-teki, nasib, peribahasa dan kiasan.

Contoh pantun budi :

Pulau pandan jauh ke tengah,

Gunung daik bercabang tiga;

Hancur badan dikandung tanah

Budi baik dikenang juga. (Sehijau Warna Daun, hlm. 4)

Contoh pantun kanak-kanak :

Jangan gergaji pokok talas,

Nanti lesung dimakan pahat;

Jangan menjadi orang malas,

Perut kosong badan tak sihat. (Sehiijau Warna Daun, hlm. 5)

Contoh pantun perpisahan :

Hari ini menugal jagung,

Hari esok menugal jelai;

Hari ini kita berkampung,

Hari esok kita bercerai. (Seuntai Kata Untuk Dirasa, hlm. 4)

Contoh pantun hiburan :

Dari Melaka pergi ke Pahang,

Singgah di Johor beli berangan;

Kami mengucap selamat datang,

Apa yang kurang dikeji jangan. (Seuntai Kata Untuk Dirasa, hlm. 6)

Contoh pantun teka teki :

Tanam pisang sulung tahun,

Malam-malam tanak nasi;

Dalam batang ada daun

Dalam daun ada isi? (Seuntai Kata Untuk Dirasa, hlm. 7)

Contoh pantun nasib :

Seri Mersing lagu Melayu,

Mari dikarang zaman dahulu;

Duduk termemnung menongkat dagu

Mengenang nasib dagang piatu. (Anak Bumi Tercinta, hlm. 4)

Contoh pantun peribahasa :

Buat bangsal di Pulau Daik,

Menahan taut sambil mengilau;

Kalau asal benih yang baik,

Jatuh ke laut menjadi pulau. (Anak Bumi Tercinta, hlm. 5)

Contoh pantun kiasan :

Tebang gelam tebang kenanga,

Batang tumbuh menimpa gedung;

Kumbang mengidam nak seri bunga

Bunga kembang di puncak gunung. (Anak Laut, hlm. 4)


Bagaimana menghasilkan pantun

Kemahiran mencipta pantun adalah salah satu daripada kemahiran menulis yang harus dipelajari oleh pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu atau Kesusasteraan Melayu.. Sebagai bahan kreatif, penciptaan pantun seharusnya digubah menggunakan bahasa yang indah, puitis dan berkesan bagi menyampaikan pemikiran.

Ciptaan juga harus mengiikut prinsip ciptaan puisi terutama puisi tradisional yang agak terkawal sifatnya. Berikut diberikan panduan ringkas tentang proses kreatif mencipta pantun.

Langkah 1

Latihan perbendaharaan kata 1.

  • Pelajar perlu mencari dan menyenaraikan sebanyak mungkin perkataan sama ada perkataan baru atau perkataan lama (arkaik).
  • Penggunaan kamus sangat digalakkan.
  • Sebagai permulaan pelajar bolehlah senaraikan 50 perkataan dan tambahlah dari semasa ke semasa.
  • Senaraikan perkataan yang berkaitan dengan nama objek atau unsur alam bagi dijadikan pembayang pantun.
  • Selain menyenarai pelajar juga perlu mengetahui, mengenali dan memahami makna, bentuk dan sifat objek berkenaan.
  • Laksanakan dengan cara membuat buku skrap atau buku catatan khas.

Nama/ perkataan

Gambar/ lakaran/ lukisan

Keterangan ringkas (erti, sifat, bentu dll)

  • Pada peringkat awal, pelajar bolehlah menyenaraikan nama-nama objek alam yang biasa digunakan dalam percakapan harian atau biasa ditemukan dalam buku teks sekolah, akhbar harian atau dalam karya sastera tradisional atau moden.
  • Perkataan berkenaan mungkin berkaitan dengan alam buana (seluruh isi darat/ laut/ air) atau alam dirgantara (seluruh isi angkasa raya).

Langkah 2

  • Susunlah perkataan berkenaan mengikut kelompok masing-masing.

Contoh :

Objek daratan

§ Nama tumbuhan/ pokok : jati, merbau, rambutan, langsat, pisang

§ Bunga-bungaan : melati, kemboja, sena, kiambang, cempaka

§ Buah-buahan : rambutan, manggis, tembikai

§ Sayuran : lobak, petola, peria, cabai, kangkung

§ Binatang dan unggas: harimau, jengking, labah-labah, beruang, semut, Geofizikal daratan : gunung, sungai, lembah, paya, jurang, pulau

Objek air/ lautan

§ Nama ikan sungai, paya dan kolam : keli, sepat, haruan, talapia,

§ Nama ikan lautan : kerisi, tamban, selar, tenggiri

§ Geo fizikal lautan/ sungai : pantai, selat, ombak, tebing, muara

Objek angkasa raya

§ Bulan

§ Bintang

§ Matahari, suria

Nama-nama lain

§ Kisah / cerita : sejarah, mitos, legenda, cerita rakyat

§ Tokoh sejarah : Hang Tuah, Bahaman, Mat Kilau

§ Anasir alam : banjir, bah, ribut, taufan, gempa

§ Benda kegunaan harian : tikar, permaidani, tudung saji, meja, kerusi

§ Perkakas rumah : radio, senduk belanga,

§ Perhiasan : gambar, lukisan, arca, pasu

§ Nama negeri : Pahang, Melaka, Johor

§ Nama pengangkutan darat, air, angkasa : kereta, perahu, kapal terbang

Langkah 3

Latihan perbendaharaan kata 2

  • Senaraikan objek/ sikap/ sifat manusia
  • Digunakan bagi membina bahagian maksud pantun, iaitu baris ketiga dan keempat.

§ Anggota tubuh : kepala kaki, tangan, mata, mulut, lutut, perut

§ Sifat : gemuk, pendek, putih, panjang, kurus, tinggi, cantik, cerdik.

§ Sikap : rajin, malas, bijak pemarah, berani, baik hati, tanggungjawab

Langkah 4

Latihan Membina Skima Rima/ Bunyi

Susun atau padankan perkataan mengikut bunyi suku kata hujung yang sama bermula dengan …ba hingga …baz , seterusnya …ca hingga …caz , dan berikutnya, mengikut turutan huruf yang sesuai.

lumba-lumba

kesumba

Tiba

Cuba

Tuba

Lembab

Sebab

Kebab

Rebab

sembab

Lebah

Sembah

Rebah

Kubah

gubah

Rambai

Cabai

Lebai

Tibia

lambai

Kerbau

taptibau

Lembau

Imbau

Rembau

Langkah 5

Latihan menyusun kalimat/ ayat (1)

Membina frasa pembayang maksud

  • Berdasarkan senarai kata yang dikumpulkan, susun untuk dijadikan kalimat, frasa atau ayat yang bermakna.
  • Untuk membina pembayang maksud pantun, pilih perkataan yang menggambarkan unsur/ objek alam (binatang, tumbuhan, bungaan, geofizikal, objek angkasa raya)
  • Sebaiknya objek alam itu objek yang indah sama ada dipandang, didengar, dirasa, digambarkan.
  • Sebaiknya terdiri daripada 4 patah kata dan 8-12 sukukata sebaris
  • Cantumkan dengan perkataan lain bagi menghasilkan bahasa yang indah dan sedap didengar.
  • Pastikan sukukata hujung mempunyi bunyi (rima) berselangan iaitu ab.
  • Sebaiknya ada hubungan makna (cerita) antara baris pertama dan baris kedua.

Contoh :

Lumba-lumba di teluk dalam,

Hilir mudik main gelombang

Anak kerbau bermain paya

Mati tersepit punggur rebah,

Manis rasanya buah rambai

Mari dimakan pagi hari

Langkah 6

Latihan menyusun kalimat / ayat (2)

Membina Maksud Pantun

  • Pilih perkataan yang mengandungi unsur manusia.
  • Pastikan rima hujung berselangan ab;ab
  • Susun empat patah perkataan / 8-12 suku kata sebaris

Contoh :

Sungguh manis wajahmu puan,

Sekali pandang rasa tak puas.

Kalau hidup selalu berbudi,

Sepanjang masa dikenang orang.

Jika hendak menjadi pandai,

Rajin-rajinlah membaca buku.

Langkah 7

Latihan Membina Pantun Lengkap

  • Tetapkan tema pantun yang hendak dicipta
  • Ikut ciri bentuk pantun (empat baris, 4 patah perkataan, skima rima hujung ab;ab, ada pembayang dan ada maksud)
  • Fikir dan tuliskan baris maksud dahulu.
  • Kemudian barulah difikirkan padanan baris pembayang.

Contoh :

Tema : Keilmuan

Tuliskan dahulu baris maksud.

……………………………

Jika hendak menjadi pandai,

Rajin-rajinlah membaca buku.

Kemudian fikirkan baris pembayang

Pakai baju kain cindai,

Koyak sedikit terkena kuku;

……………………………..

Cantum dan susunkan empat baris berkenaan menjadi

Pakai baju kain cindai,

Koyak sedikit terkena kuku:

Jika hendak menjadi pandai,

Rajin-rajinlah membaca buku.

Langkah 8

Latihan Mengedit Pantun

  • Fikir semula tiap patah perkataan yang dipilh sebagai pembayang atau maksud sama ada mempunyai sifat puitis atau tidak.
  • Apakah perkataan yang dipilih bagi bahagian pembayang sesuai untuk menggambarkan rasa bagi maksud pantun.
  • Perhatikan adakah bunyi rima tengah pantun tersebut berselangan ab;ab seperti bunyi hujung ab;ab.
  • Fikirkan sama ada maksud pantun berkenaan digambarkan secara langsung atau berkias.
  • Fikirkan apakah perkataan yang pilih berupaya menggambarkan kod budaya masyarakat.
  • Fikirkan apakah ada perkataan yang boleh menjadi kata kunci bagi menggambarkan maksud keseluruhan rangkap pantun berkenaan.
  • Fikirkan juga logic makna bagi idea pantun tersebut.

Bagi contoh pantun yang diciptakan tadi, beberapa penambahbaikan boleh dilakukan.

Antaranya memadan dan memilih perkataan kedua tiap baris bagi membentuk skima rima tengah yang berselangan ab;ab sama seperti skima rima hujung.

Mungkin bahasa pantun ini menjadi lebih puitis dan sedap dilafazkan, jika diubah begini :

Pakai terendak berkain cindai,

Koyak sebelah terkena kuku:

Jika hendak menjadi pandai,

Rajin-rajinlah membaca buku.

Mencipta pantun memerlukan kesabaran dan penguasaan bahasa yang banyak dan teliti. Namun dengan letihan berterusan dan kesabaran tinggi, pelajar pasti mampu menjadi seorang pencipta dan pemantun yang baik.

Bagaimana mempersembahkan (apresiasi) pantun

- tiada –

Bagaimana mengajarkan pantun

Persediaan Mengajar

Genre : Puisi Tradisional

Tingkatan : 4 Cempaka

Tajuk : Pantun Kiasan

Masa : 80 minit

Bilangan Pelajar : 40 orang

Fokus Utama :

10.3 Menyatakan bentuk dan nada puisi.

Aras 1 : iii. Menganalisis karya prosa dan puisi untuk mengenal pasti aspek- aspek yang menarik (nada puisi)

Fokus Sampingan

10.5 Menghurai maksud, gaya bahasa dan unsur bunyi dalam puisi.

Aras 1 : i. Menyatakan makna kata dan ungkapan berdasarkan konteks untuk meningkatkan apresiasi.

12.5 Membina baris puisi dengan kemas dan indah.

Aras 3 : ii. Menghasilkan puisi yang memperlihatkan kreativiti yang tinggi dari segi idea dan gaya penulisan.

Objektif : Pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid dapat :

  1. Melafazkan pantun dengan nada dan intonasi yang sesuai.
  2. Menerangkan maksud/ isi pantun secara tersurat.
  3. Membina ayat puitis dalam penciptaan pantun.

Sistem Bahasa :

i) Tatabahasa : Kata nama, kata kerja, kata adjektif.

ii) Kosa Kata : alas nikah, perencah, melukut di tepi gantang, gelam, kenanga, terap, belat, cicak mengkarung.

Kemahiran Bernilai Tambah :

Kemahiran Berfikir : Menyusun maklumat, meramal maksud, melakar, merumus.

Kecerdasan Pelbagai : Interpersonal, verbal linguistik, visual dan spatial.

Strategi : Mengalami menghayati, 4 Mat (Lampiran 2.9), Penyepaduan Seni.

Pengisian Kurikulum:

Ilmu : Sosiobudaya, alam sekitar.

Nilai : rasional, hormat, beriman, bersopan, mengenang budi, berani.

Bahan Bantu Belajar : Kompang, kertas sebak, transparensi dan pen, marker pen, kad arahan.

Langkah Pengajaran dan Pembelajaran

1) Guru memulakan pengajaran dengan mengajak pelajar melaksanakan aktiviti. main peranan (Lampiran 2.10). Pelajar terpilih diberikan kad arahan / kad kiu.

2) Dua orang pelajar berperanan sebagai datuk dan nenek yang dikehendaki memberi nasihat kepada cucu-cucu yang nakal. Perkara yang dipesankan ialah agar cucunya mengamalkan bangun pagi, sentiasa ingatkan Tuhan, bersopan dalam tingkah laku, rajin belajar, bijak memilih kawan serta patuh dan hormat kepada guru.

3) Guru merumuskan semua pesanan berkenaan dalam lirik lagu rakyat. Guru pamerkan lirik lagu berkenaan di papan hijau untuk rujukan semua pelajar. Guru membimbing semua pelajar bersama-sama menyanyikan lagu rakyat Burung Kenek-Kenek (Lampiran 2.11).

4) Guru membimbing pelajar membuat penilaian dan rumusan pemikiran hasil pengalaman main peranan, aktiviti menyanyikan lagu seterusnya dikaitkan dengan tajuk pelajaran hari ini.

5) Guru mengedarkan petikan ‘Pantun Kiasan’ (Antologi Anak Laut, hlm.4. Lampiran 2.12). Pelajar diarah membaca senyap.

6) Selepas itu, pelajar diarah membaca kuat rangkap demi rangkap secara berbalas pantun antara lelaki dan wanita.

7) Pelajar diarah membentuk kumpulan kecil. Kumpulan diminta berbincang tentang isi pantun-pantun berkenaan dan menterjemahkan kefahaman dalam bentuk lukisan atau lakaran (Lampiran 2.13) berdasarkan tiap rangkap pantun. Lakaran / lukisan dibuat pada kertas sebak / transparensi. Hasil perbincangan dibentangkan.

8) Guru mengarahkan kumpulan membincangkan aspek penggunaan bahasa puisi dan melengkapkan borang senarai kata/ frasa (Lampiran 2.14) yang disediakan. Ahli kumpulan perlu menyenaraikan kata/ frasa nama, kata kerja dan kata adjektif. Seterusnya membina ayat puitis dengan menggabungkan senarai kata yang terdapat dalam unit pembayang dan unit maksud mengikut tiap rangkap pantun.

9) Guru mengarahkan kumpulan mencipta serangkap pantun 4 kerat untuk menjawab salah satu daripada pantun yang diberikan. Ahli kumpulan diminta melafazkan soal-jawab pantun berkenaan (Lampiran 2.15).

10) Guru membuat rumusan dan penilian tentang hasil tugasan pelajar. Rumusan merangkumi aspek isi tiap rangkap pantun, kesesuaian penggunaan kata dalam pantun, pembinaan ayat puitis dan ciptaan pantun pelajar.

11) Guru menutup pengajaran dengan mengajak pelajar bersama-sama melagukan Pantun Kiasan.