Khamis, 10 Mei 2012

Pembugaran Dalam Bahasa Melayu

Konsep Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) bermaksud meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia.  Bahasa Melayu juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.  Tujuan utama memartabatkan bahasa Melayu adalah kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia. Justeru, semua usaha memartabatkan bahasa Melayu hendaklah dijuruskan ke arah mencapai matlamat fungsi tersebut.

Program MBM dalam Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) 4 Minggu Peningkatan Profesionalisme ini memfokuskan kepada pengetahuan kandungan (content knowledge) Bahasa Melayu(BM) yang terkini kepada guru opsyen dan guru bukan opsyen BM di sekolah rendah dan di sekolah menengah.  Selain itu, bagi memastikan impak optimum penggunaan pengetahuan kandungan BM tersebut dapat dicapai, strategi penyampaian yang kreatif, inovatif serta pengintegrasian elemen didik hibur dan kemahiran Abad 21 diberikan secara tunjuk cara dan aplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran BM.

Melalui kursus Pembugaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran BM yang ditawarkan dalam program ini, peserta akan mendapat pengetahuan kandungan cara-cara menggalakkan penggunaan BM melalui aktiviti berbahasa di dalam dan di luar bilik darjah dengan memfokuskan kepada kemahiran berlisan dan pengucapan awam seperti bersyarah, berpidato dan berpuisi. Kemahiran berbahasa murid dan pelajar boleh diaplikasikan dalam aktiviti-aktiviti berbahasa secara menarik dan berstruktur seperti di atas.  Selain daripada itu, aktiviti berbahasa tersebut juga boleh meningkatkan keyakinan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dalam kalangan murid dan pelajar. Elemen ini dapat membugarkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan khalayak dan memartabatkannya sebagai bahasa perhubungan utama dan alat perpaduan.

Tajuk-tajuk kursus MBM KDP 4 Minggu Peningkatan Profesionlaisme ini menggunakan istilah Bahasa Melayu kerana Bahasa Melayu merupakan epistemologi kepada Bahasa Malaysia selaras dengan Akta 152.


MATLAMAT

Matlamat Kursus Pembugaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu KDP 4 Minggu Peningkatan Profesionalisme Program MBM adalah untuk melahirkan guru yang berketerampilan dalam merancang dan melaksanakan aktiviti pembugaran dalam pengajaran dan pembelajaran BM di dalam dan di luar bilik darjah.

 HASIL PEMBELAJARAN
1. Menjelaskan aktiviti-aktiviti pembugaran dalam BM di dalam dan di luar bilik darjah dengan tepat dan betul;
2. Mensintesis maklumat daripada pelbagai sumber untuk memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang bentuk dan     prosedur pelaksanaan aktiviti-aktiviti pembugaran dalam BM yang dapat digunakan di sekolah;
3. Mengaplikasikan ilmu dan kemahiran pengurusan aktiviti pembugaran dalam BM  untuk menghasilkan bahan pengajaran     dan  pembelajaran;
4.  Menghasilkan produk dan portfolio pengajaran pembugaran untuk dilaksanakan di sekolah; dan 
5.   Menunjukkan semangat sepasukan sepanjang mengikuti kursus.
  
CADANGAN STRATEGI PENYAMPAIAN

Untuk mencapai hasil pembelajaran kursus ini, pensyarah disarankan untuk menggunakan prinsip dan strategi pengajaran dan pembelajaran menjurus kepada menggalakkan peserta kursus menguasai kemahiran belajar secara terarah kendiri serta dapat memproses maklumat secara kritis dan kreatif menerusi strategi pengajaran dan pembelajaran yang boleh dipraktikkan:

  • Kuliah 
  • Tunjuk cara
  • Perbincangan
  • Rujukan kendiri
  • Penyelesaian masalah
  • Pembelajaran berasaskan situasi/konteks
  • Kolaboratif dan koperatif
  • Penyediaan produk/portfolio pembelajaran

Strategi pengajaran dan pembelajaran yang digunakan memberi penekanan kepada elemen seperti kemahiran belajar, kemahiran berfikir, kemahiran mentaksir dan menilai, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran fasilitator, kemahiran kerja berpasukan, dan kecerdasan pelbagai. Kesemua kemahiran dikategorikan sebagai kemahiran abad 21.
  
* Sumber: Modul Kursus Pembugaran  (suntingan MHM)

Tugasan

 Anda dikehendaki menghasilkan suatu produk pembelajaran yang mengandungi perkara seperti berikut:

1. Pakej aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk suatu tempoh pengajaran tertentu di sekolah

2. Bahan-bahan sokongan yang akan digunakan dalam tempoh pengajaran tersebut

3. Pentaksiran dan penilaian aktiviti pengajaran dan pembelajaran

4.  Bahan-bahan rujukan

5. Persembahan multimedia untuk tujuan pembentangan

 Produk pembelajaran tersebut boleh dihasilkan dalam bentuk perisian kursus (CD) atau portfolio pembelajaran.

Penilaian
Penilaian kursus dibuat 100% berdasarkan produk/portfolio pembelajaran yang dihasilkan oleh peserta kursus.  Pentaksiran terhadap produk/portfolio berdasarkan kriteria penilaian seperti yang berikut:
 
Matlamat Kursus
§  Tema dan tajuk meliputi secara jelas dan selaras dengan kepeluan sukatan pelajaran
§  Aktiviti pembelajaran menjana daya pemikiran aras tinggi dan kemahiran belajar secara terarah kendiri
§  Bahan sokongan yang disediakan menjurus ke arah pencapaian matlamat kursus
2. Kandungan Portfolio
§  Prosedur portfolio dicatat dengan jelas
§  Hubungan antara maklumat yang dikumpul dengan Hasil Pembelajaran kursus ditunjukkan dalam bahan  yang disediakan di dalam portfolio
§  Komponen-komponen dalam portfolio merupakan model yang dibina untuk membantu pelaksanaan di peringkat sekolah
3. Integrasi Teknologi
§  Penggunaan teknologi yang menyokong ke arah mensintesis maklumat daripada pelbagai sumber untuk memperoleh pemahaman yang lebih mendalam
4. Kreativiti dan Inovasi
§  Peserta dapat menghasilkan bahan sumber pengajaran-pembelajaran yang kreatif dan inovatif
§  Peserta dapat membina portfolio yang menarik dan boleh diguna pakai oleh guru lain
5. Keseluruhan
§  Portfolio menunjukkan keberkesanan kursus yang diikuti
§  Bukti keseluruhan boleh dilihat melalui kelicinan aktivit persembahan/pembentangan
§  Pengurusan portfolio yang kemas dan baik
                                      
      Jumlah = 100%


Perihal "Bugar" dan "Pugar"

by Mohamad Musip on Sunday, June 26, 2011 at 7:47pm
Kursus "Pembugaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa" adalah antara kursus yang dijalankan bagi memberikan impak kepada program Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM). Program MBM ialah program yang diperkenalkan pada tahun 2010 untuk menggantikan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia (PPSMI) yang mengharubirukan pendidikan arus perdana. Untuk maksud menjayakan program MBM itu, sejumlah pensyarah dari beberapa IPG dipanggil berkampung untuk membina kurikulum dan modul kursus.
Bermula esok, 27 Jun 2011, kursus "Pembugaran" dan satu kursus lagi, "Kompetensi Berbahasa" dijalankan di beberapa IPG. IPG Kampus Perempuan Melayu telah dipertanggungjawabkan untuk melatih 50 orang guru BM dari Melaka (15 orang), Negeri Sembilan (15 orang), dan Johor (20 orang). Menerusi kursus pembugaran, para peserta akan dibimbing untuk menyediakan aktiviti pembugaran di dalam dan di luar bilik darjah, manakala menerusi kursus kompetensi berbahasa, para peserta akan dibimbing untuk mendalami ilmu tentang kaedah dan teknik mengajarkan kemahiran bahasa.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) menjelaskan "bugar" sebagai pelengkap kepada kata ganda "segar-bugar" yang bermakna sangat sihat (hal. 212). Kata terbitan bugar" bagi kata dasar "bugar" ialah kebugaran, iaitu 1. hal subur (tentang tumbuhan); 2. hal sihat dan segar (tentang tubuh manusia). Tidak ada kata terbitan "pembugaran" bagi entri "bugar". Dalam konteks judul kursus "Pembugaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa", panel penyedia modul telah memutuskan untuk memilih istilah "pembugaran" dan bukan "pemugaran".
Kata dasar "pugar" dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 1241) memaparkan makna yang lebih menyerlahkan inti sari dan hasrat kursus. Kamus Dewan menjelaskan bahawa kata dasar "pugar" juga bersinonim dengan kata dasar "bugar", iaitu sihat benar. Kata terbitan yang dikemukakan dalam kamus ialah "memugar" dan "memugari" yang bermaksud 1. memperbaiki, memperelok semula, membaharui, memulihkan; sementara "pemugaran" diberikan maksud pemulihan semula, pembaikan kembali, pembaharuan; 2. perihal memugar (membuka, mengusahakan) tanah.
Daripada penjelasan di atas, tampak bahawa perkataan yang lebih menepati maksud kandungan kursus ialah "pemugaran". Hal ini demikian kerana kursus ini bertujuan untuk memperelok strategi, membaharui semangat, memulihkan suasana muram, dan membuat pembaharuan dalam situasi pengajaran dan pembelajaran, sama ada yang berlangsung di bilik darjah atau di luar bilik darjah. Dengan ini, yakinlah kita bahawa kursus "pemugaran" dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa lebih menampilkan maksud yang diingini daripada kita memilih perkataan "pembugaran". Walau bagaimanapun, kedua-dua perkataan, "bugar" dan "pugar" tidaklah berlawanan maksud, justeru tidaklah bersalahan jika penggunaan nama "kursus pembugaran" dipilih. 
Aktiviti Pembugaran@Pemugaran
by Mohamad Musip on Sunday, June 26, 2011 at 8:06pm
A. Aktiviti di Bilik Darjah

1. Teka Silang kata
§          Definisi konsep
§          Tujuan
§         Kepentingan
§          Contoh
§         Membina silang kata bagi sesuatu kemahiran bahasa;
2. Pemintal Lidah
§       Tujuan
§        Bentuk ayat pemintal lidah
§        Membina ayat pemintal lidah – Contoh ; Kuku kaki kiri kakakku kena kuku kakiku
§        Membaca ayat-ayat pemintal lidah secara ansur maju.
3. Permainan Kosa kata
§       Pengertian kosa kata
§       Cara dan strategi permainan kosa kata
                             i.            Domino
                            ii.            Cantum kad perkataan/gambar
                           iii.            Cantum ayat/gambar.

      4. Peningkatan bahasa melalui projek berdasakan isu dengan menggunakan brosur dan laman web
§              Jenis-jenis projek yang dilaksanakan.
§              Pembinaan brosur
§             Penggunaan laman web
B. Aktiviti di Luar Bilik Darjah
        1. Syarahan Luar
§                Definisi
§              Kepentingan syarahan
§              Ciri syarahan berkualiti
§              Prosedur pelaksanaan syarahan.
§              Pelaksanaan syarahan
         2. Pidato.
§             Definisi
§             Perbezaan syarahan dengan pidato
§            Kepentingan sudut pidato
§            Pelaksanaan sudut pidato
§            Latihan  berpidato
      3. Perbahasan/Debat
§              Definisi konsep
§              Struktur perbahasan
§              Prosedur pelaksanaan perbahasan
§             Ciri ciri pembahas yang baik
§              Pelaksanaan perbahasan
4.  Ceramah
§          Definisi konsep
§          Perbezaan ceramah daripada syarahan
§         Ciri ceramah berkesan
§         Pelaksanaan ceramah
5. Deklamasi Puisi Moden/sajak
§        Bentuk sajak
§        Ciri deklamasi sajak
§        Mendeklamasikan sajak.
6.  Biografi
§          Definisi
§          Kepentingan mengetahui biografi tokoh
§          Penulisan biografi
§          Menilai tokoh biokgrafi
7. Teledrama pendek
§         Definisi
§         Menentukan tajuk
§         Menulis skrip
§         Membuat pementasan.
8. Temu bual
§         Definisi konsep
§         Bentuk bentuk temu bual
§         Menentukan subjek/isu
§         Pelaksanaan temu bual.
9. Penerbitan teledokumentasi
§        Definisi konsep
§        Kepentingan
§        Merangka teledokumentasi
§        Penggambaran dan persembahan.

 * Sumber: Modul Pembugaran