SINOPSIS
Peperangan, Perkahwinan dan Pertabalan
Prosa
tradisional ini mengisahkan Maharaja Indera Dewa yang marah apabila
Maharaja Marakarma telah menyerang negeri baginda. Maharaja Indera Dewa
menitahkan raja-raja supaya keluar berperang dengan
Marakarma. Maharaja Marakarma dan Raja Mengindera Sari telah meminta
keizinan ayahanda dan bonda mereka untuk keluar berperang. Kedua-dua
belah pihak berperang dan bertarung mengikut status
masing-masing. Ramai yang tewas dalam peperangan, mayat manusia
bertimbun serta kepala hulubalang dan pahlawan berselerakan di tengah
padang. Hanya Maharaja Indera Dewa sahaja yang terselamat.
Melihatkan
keadaan itu, Maharaja Marakarma pun mengusir Maharaja Indera Dewa dari
situ. Maharaja Indera Dewa pun bertanya kepada Maharaja Marakarma
tentang asal usul baginda lalu menyuruh baginda pulang kerana kasihan
akan Maharaja Marakarma serta ayahanda dan bonda baginda. Maharaja
Marakarma tersenyum lalu menyatakan bahawa baginda dianggap sebagai anak
yang malang dan tidak dibenarkan tinggal di dalam negeri Puspa Sari.
Pada pendapat Maharaja Marakarma, tiada gunanya baginda hidup. Lebih
baik baginda mangkat bersama-sama dengan Maharaja Indera Dewa. Maharaja
Indera Dewa sangat marah apabila mendengar kata-kata Maharaja Marakarma
lalu memanah ke arah Maharaja Marakarma tetapi tersasar. Setelah
masing-masing menunjukkan kehebatan memanah, berlaku pula kejadian
tikam-menikam. Tikaman Maharaja Marakarma terkena pada dada Maharaja
Indera Dewa lalu tembus ke belakang. Baginda pun rebah tetapi sebelum
mati, Maharaja Indera Dewa sempat berpesan kepada Maharaja Marakarma
supaya menjaga anak baginda, Puteri Nila Cahaya.
Setelah
mendengar berita kemangkatan ayahandanya di medan peperangan, Puteri
Nila Cahaya terus menangis lantas berlari ke luar kota bersama-sama
dengan bondanya untuk mencari mayat Maharaja Indera Dewa. Tuan Puteri
Nila Cahaya mendapati ayahandanya tersandar pada bangkai gajah. Bondanya
juga mangkat kerana terkena tikaman keris yang terletak di tangan
Maharaja Indera Dewa. Tuan Puteri Nila Cahaya hendak menikam dirinya
tetapi dapat diselamatkan oleh isteri-isteri hulubalang. Sebelum pulang
ke negeri Puspa Sari, Maharaja Marakarma telah mengarahkan Raja Rum Syah
Ke negeri Anta Beranta yang telah kematian maharajanya. Kemudiannya,
Maharaja Marakarma dan Raja Mengindera Sari bertemu pula ayahanda
mereka. Ayahanda mereka berasa sangat gembira kerana mereka telah menang
dalam peperangan dan kemudiannya mereka pulang ke negeri Puspa Sari.
Setelah
melihat saudaranya duduk bersama-sama dengan suaminya, Tuan Puteri
Cahaya Khairani pun menemui mereka lalu menangis. Tuan Puteri Cahaya
Khairani memberitahu bahawa Raja Bujangga Indera kini sudah dewasa
setelah sekian lama mereka tidak bertemu dan amat rindu akan adindanya
itu. Raja Bujangga amat terkejut dan tercengang apabila mendengar
kata-kata Tuan Puteri Cahaya Khairani. Setelah diamat-amati, ternyatalah
Tuan Puteri Cahaya Khairani ialah kakandanya. Berita baik itu
kemudiannya disampaikan kepada ayahanda dan bonda mereka yang kini
tinggal di negeri Mercu Indera oleh seorang hulubalang.
Maharaja Marakarma dan anak raja yang lain bercadang untuk mengahwinkan
Raja Bujangga Indera dengan Tuan Puteri Nila Cahaya dan ingin ditabalkan
menjadi raja di negeri Anta Beranta. Rombongan Maharaja Marakarma
kemudian berangkat ke negeri Anta Beranta. Maharaja Marakarma menitahkan
Perdana Menteri supaya membuat persiapan untuk meraikan perkahwinan
Raja Bujangga Indera dengan Tuan Puteri Nila Cahaya lalu melantik Raja
Bujangga Indera menjadi Maharaja Anta Beranta.
Maharaja Negeri Mercu Indera
Seluruh
rakyat Mercu Indera datang menghadap Maharaja Malai Kisna. Pada masa
yang sama, hulubalang berkenaan diperintah oleh Maharaja Bujangga Indera
supaya membawa surat lalu menghadap baginda. Bentara
telah membaca kandungan surat tersebut. Kandungan surat tersebut
menyatakan bahawa Tuan Puteri Cahaya Khairani telah diselamatkan oleh
Maharaja Marakarma. Setelah selesai surat tersebut dibaca, rombongan
Maharaja Marakarma pun tiba. Maharaja Malai Kisna dan isteri baginda
menyambut ketibaan rombongan lalu meraikan rombongan tersebut.
Genap
empat puluh hari empat puluh malam, Maharaja Marakarma dan isteri
baginda dihias dan diletakkan di atas tandu. Mereka diarak mengelilingi
negeri Mercu Indera sebanyak tujuh kali. Maharaja Kisna Indera,
Mengindera Dewa, Raja Mengerna Lela dan Raja Dikar Agas Peri pun
menunjukkan kesaktian mereka masing-masing. Seluruh rakyat negeri Mercu
Indera menjunjung duli dan berdoa semoga Sultan Maharaja Marakarma dan
Tuan Puteri Cahaya Khairani ditabalkan sebagai raja negeri
Mercu Indera. Setelah selesai upacara pertabalan Maharaja Marakarma,
saudara mara baginda yang lain memohon keizinan untuk pulang ke negeri
masing-masing. Raja Mengindera Sari pula telah ditabalkan menjadi raja
di negeri Pelanggam Cahaya bagi menggantikan Maharaja Puspa Indera.
TEMA
Tema prosa tradisional ini adalah hubungan erat antara kerabat diraja
Peperangan
yang berlaku antara Maharaja Marakarma dengan Maharaja Indera Dewa
telah dapat menyatukan Puteri Nila Cahaya dengan Raja Bujangga Indera
melalui ikatan perkahwinan. Selain itu, Puteri Cahaya Khairani telah
dapat bertemu semula dengan saudaranya, Raja Bujangga Indera serta ayahanda dan bondanya setelah diselamatkan oleh Maharaja Marakarma.
PERSOALAN
i. Keberanian untuk menempuh cabaran.
Contoh: Maharaja Marakarma berani untuk menentang Maharaja Indera Dewa.
ii. Kebijaksanaan dalam tindakan.
Contoh: Apabila
Maharaja negeri Anta Beranta mangkat, Maharaja Marakarma segera
mengarahkan Raja Rum Syah untuk melihat keadaan rakyat negeri Anta
Beranta agar baginda dapat menakluk negeri tersebut.
iii. Penderitaan tidak semestinya berkekalan.
Contoh: Puteri
Nila Cahaya yang sedih setelah kematian ayahanda dan bondanya akhirnya
mendapat kesudahan yang baik kerana dapat berkahwin dengan Raja Bujangga
Indera.
iv. Tanggungjawab seorang bapa.
Contoh: Maharaja
Marakarma menunaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada Puteri
Nila Cahaya dengan menjaga puterinya dengan baik serta mengahwinkan
Puteri Nila Cahaya dengan Raja Bujangga Indera.
Watak Utama
Maharaja Marakarma
i. Putera kepada Maharaja Indera Angkasa.
ii. Mempunyai hubungan persaudaraan dengan Raja Mengindera Sari.
iii. Berkahwin dengan Tuan Puteri Cahaya Khairani.
iv. Taat.
Contoh: Maharaja Marakarma taat akan perintah ayahanda baginda supaya berperang menentang Maharaja Indera Dewa.
v. Mahir memanah.
Contoh: Maharaja Marakarma berjaya membunuh Maharaja Indera Dewa dengan kemahiran memanah yang dimiliki oleh baginda.
vi. Berani.
Contoh: Maharaja Marakarma berani untuk menentang Maharaja Indera Dewa.
vii. Bertanggungjawab.
Contoh: Maharaja Marakarma bertanggungjawab menjalankan tugas sebagai ayah kepada Puteri Nila Cahaya dengan baik.
viii. Ditabalkan sebagai maharaja di negeri Mercu Indera.
Watak Sampingan
Raja Mengindera Sari
i. Putera kepada Maharaja Indera Angkasa.
ii. Mempunyai hubungan persaudaraan dengan Maharaja Marakarma.
iii. Menjadi raja di negeri Pelanggam Cahaya.
iv. Taat.
Contoh: Raja Mengindera Sari taat akan perintah ayahanda baginda supaya berperang menentang Maharaja Indera Dewa.
v. Berani.
Contoh: Raja Mengindera Sari berani berperang menentang raja Maharaja Indera Dewa.
Puteri Nila Cahaya
i. Puteri kepada Maharaja Indera Dewa.
ii. Permaisuri kepada Raja Bujangga Indera
Contoh: Puteri Nila Cahaya berkahwin dengan Raja Bujangga Indera dan dijadikan raja negeri Anta Beranta.
iii. Penyayang.
Contoh: Puteri Nila Cahaya berasa sedih apabila mendengar berita kemangkatan ayahanda dan bondanya.
iv. Bernasib baik.
Contoh: Walaupun
pada asalnya Puteri Nila Cahaya hidup menderita namun kerana
kemangkatan ayahanda baginda namun akhirnya mendapat kebahagiaan setelah
berkahwin dengan Raja Bujangga Indera.
Puteri Cahaya Khairani
i. Berkahwin dengan Maharaja Marakarma.
ii. Mempunyai hubungan persaudaraan dengan Raja Bujangga Indera.
iii. Penyayang.
Contoh: Puteri Cahaya Khairani berasa gembira apabila dapat bertemu kembali dengan adinda yang disayangi.
Raja Bujangga Indera
i. Bersaudara dengan Tuan Puteri Cahaya Khairani
ii. Berkahwin dengan Tuan Puteri Nila Cahaya
iii. Ditabalkan menjadi Maharaja Anta Beranta
iv. Penyayang.
Contoh: Raja Bujangga Indera berasa amat gembira apabila dapat bertemu kembali dengan kakanda tersayang.
LATAR
Latar Masa
i. Pagi
Contoh: Maharaja Indera Dewa menitahkan raja-raja untuk keluar berperang dengan Maharaja Marakarma pada waktu pagi.
ii. Empat puluh hari empat puluh malam
Contoh: Upacara perkahwinan Raja Bujangga Indera dengan Tuan Puteri Nila Cahaya berlangsung selama empat puluh hari empat puluh malam.
Latar Tempat
i. Negeri Puspa Sari
Contoh: Pusat pemerintahan Maharaja Indera Angkasa.
ii. Negeri Anta Beranta
Contoh: Tempat perkahwinan Raja Bujangga Indera dengan Puteri Nila Cahaya dan pertabalan Raja Bujangga Indera sebagai maharaja di situ.
iii. Negeri Mercu Indera
Contoh: Tempat pertabalan Maharaja Marakarma menjadi maharaja.
Latar Masyarakat
i. Masyarakat feudal
Contoh: Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja.
ii. Masyarakat yang penyayang
Contoh: Tuan Puteri Nila Cahaya amat menyayangi ayahanda dan bondanya.
iii. Masyarakat yang taat setia.
Contoh: Maharaja Marakarma patuh akan arahan ayahanda baginda supaya pergi berperang.
iv. Masyarakat yang bertanggungjawab
Contoh: Maharaja Marakarma menjalankan tanggungjawab sebagai ayah kepada Puteri Nila Cahaya dengan sempurna.
v. Masyarakat yang berani.
Contoh: Maharaja Marakarma berani untuk menentang Maharaja Indera Dewa.
vi. Masyarakat yang bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan.
Contoh: Seluruh rakyat Puspa Sari bersama-sama keluar untuk berperang menentang maharaja Indera Dewa.
vii. Masyarakat yang mengamalkan kepercayaan karut.
Contoh: Maharaja Marakarma berpendapat bahawa tiada gunanya baginda hidup kerana dianggap sebagai anak yang membawa malang.
GAYA BAHASA
i. Bahasa Istana
Contoh: ayahanda, bonda, baginda, titah, bersemayam, singgahsana
ii. Bahasa Sanskrit
Contoh: ratna mutu manikam
iii. Bahasa Arab
Contoh: maghrib, masyrik
iv. Bahasa Melayu Klasik
Contoh: rata, lebu duli, anak keti
v. Kata Pangkal Ayat
Contoh: maka, adapun
NILAI
i. Nilai menepati janji
Contoh: Maharaja Marakarma menepati janji untuk menjaga Tuan Puteri Nila Cahaya dan memberi layanan yang baik kepada baginda.
ii. Nilai keberanian.
Contoh: Maharaja Marakarma berani untuk menentang Maharaja Indera Dewa.
iii. Nilai kasih sayang.
Contoh: Puteri Nila Cahaya sanggup untuk menikam dirinya apabila melihat mayat ayahanda dan bondanya kerana terlalu sayang akan baginda berdua.
iv. Nilai amanah.
Contoh: Hulubalang
yang disuruh untuk menyampaikan berita tentang Puteri Cahaya Khairani
telah diselamatkan oleh Maharaja Marakarma berjaya melaksanakan amanah
yang diberi.
v. Nilai kerjasama
Contoh: Seluruh rakyat turut bekerjasama dengan Maharaja Indera Dewa untuk keluar berperang.
vi. Nilai ketaatan
Contoh: Rakyat yang taat dengan perintah Maharaja Indera Dewa supaya keluar berperang dengan Maharaja Marakarma.
vii. Nilai bertanggungjawab
Contoh: Maharaja Marakarma bertanggungjawab menjaga Puteri Nila Cahaya dengan baik.
viii. Nilai kebijaksanaan
Contoh: Maharaja
Marakarma segera mengarahkan Raja Rum Syah untuk melihat keadaan rakyat
di negeri Anta Beranta setelah maharajanya mangkat.
PENGAJARAN
i. Kita hendaklah sentiasa berpegang kepada janji.
Contoh: Maharaja Marakarma telah menunaikan janjinya dengan Maharaja Indera Dewa untuk menjaga Puteri Nila Cahaya.
ii. Kita hendaklah berani untuk menentang musuh.
Contoh: Maharaja Marakarma berani untuk berdepan dengan Maharaja Indera Dewa dan menentang baginda.
iii. Kita hendaklah amanah dalam menjalankan tugas yang diberikan.
Contoh: Hulubalang
sanggup berjalan dari negeri Puspasari ke negeri Mercu Indera untuk
menyampaikan surat yang diamanahkan kepada Maharaja Malai Kisna.
iv. Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap keluarga.
Contoh: Maharaja Marakarma bertanggungjawab menjaga Puteri Nila Cahaya dengan baik.
v. Kita hendaklah taat akan perintah ibu bapa.
Contoh: Maharaja Marakarma taat kepada ayahanda dan bonda baginda kerana memohon keizinan ayahanda baginda terlebih dahulu sebelum keluar berperang.
vi. Kita hendaklah bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu tugas.
Contoh: Rakyat negeri Anta Beranta bersama-sama dengan Maharaja Indera keluar untuk berperang.
vii. Kita hendaklah mengekalkan hubungan yang erat sesama anggota keluarga.
Contoh: Walaupun
telah terpisah dengan anggota keluarganya, Puteri Cahaya Khairani masih
lagi mengingati dan mengekalkan hubungan yang erat dengan keluarganya.
viii. Janganlah kita mengamalkan kepercayaan karut.
Contoh: Maharaja Marakarma dianggap sebagai anak yang membawa malang melalui kepercayaan karut.
SOALAN
i. Bagaimanakah Maharaja Marakarma membunuh Maharaja Indera Dewa?
ii. Apakah hubungan antara Tuan Puteri Cahaya Khairani dengan Raja Bujangga Indera?
JAWAPAN
i. Maharaja Marakarma membunuh Maharaja Indera Dewa dengan menikam dada Maharaja Indera Dewa terus ke belakang.
ii. Hubungan antara Tuan Puteri Cahaya Khairani dengan Raja Bujangga Indera ialah adik
beradik.