Sabtu, 16 April 2011

Bahasa Melayu Tingkatan 1

Apakah pantun

Pantun ialah sejenis puisi Melayu tradisional yang digunakan untuk menyampaikan perasaan dan fikiran yang gembira, sedih, rindu, marah dan sebagainya. Mengikut kajian (Muhammad Hj. Salleh, 2000 : 56) asal kata pantun mungkin berdasarkan kata toen, tuntun, tonton, tuntun, atuntun, matuntun, panton, pantun yang digunakan dalam pelbagai bahasa di Nusantara. Maksudnya merujuk kepada ‘sesuatu pengucapan dengan bahasa yang teratur, tersusun dan indah atau peri laku yang terpimpin, terdidik, bersopan dan bertatasulisa’. Dalam kesusasteraan Melayu istilah pantun atau sepantun asalnya dipakai dengan makna ‘umpama, seperti, sebagai, laksana, bak’ yakni merujuk kepada perbandingan atau kiasan. Contohnya ‘tuan sepantun kilat cermin, di balik gunung nampak juga’.

(a) Ciri-ciri Pantun:

Pantun mempunyai beberapa ciri, antaranya :

i) Rangkapnya berasingan dan boleh berdiri sendiri sebagai satu kesatuan idea

ii) Rangkapnya terbina daripada baris atau kerat yang berpasangan misalnya dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan seterusnya. Namun pantun yang popular dan terus berkembang adalah pantun empat kerat dan dua kerat.

iii) Jumlah perkataan setiap baris sekitar tiga hingga lima patah perkataan.

iv) Jumlah suku kata dalam setiap baris sekitar lapan hingga dua belas suku kata.

v) Skima rima di tengah dan / atau di hujung baris adalah berjajar berselangan iaitu ab;ab. Ada juga skima rima yang sama, iaitu aa;aa .

vi) Struktur pantun terdiri daripada dua unit iaitu pembayang (yang menjadi kiasan) dan maksud (yang menjadi inti persoalan) yang hendak disampaikan. Pembayang adalah adalah gambaran alam dan maksud adalah gambaran sifat dan sikap manusia.

vii) Setiap rangkap memiliki kesatuan idea yang lengkap.

viii) Pemilihan perkataan merujuk kepada lambang yang sesuai dengan norma, nilai dan tanggapan masyarakat setempat.

ix) Pantun yang baik mempunyai hubungan idea dan wacana antara unit pembayang dan unit maksud.