Sabtu, 16 April 2011

Puisi Tradisional

Pengenalan

1. Konsep Puisi

Puisi seringkali dianggap objek yang kabur dan menakutkan. Malah bukan sedikit khalayak yang cuba menjelajahi merasa tersesat dalam rimba puisi yang gelap dan misteri itu. Namun wajar diakui bahawa untuk menerokai daerah puisi seseorang harus berbekalkan kematangan kata, kebijaksanaan makna dan kelunakan rasa. Sesungguhnya apabila seseorang telah berupaya menerobos ruang makna sesebuah puisi, maka ia telah mencapai darjah kebahasaan tertinggi. Tidak ada lagi tingkat kebahasaan yang lebih tinggi selain bahasa puisi. Sang Pujangga @ Penyair @ Penyajak yang mencipta puisi mengikut pandangan T.S. Eliot (1988: 31) adalah ‘arkitek yang membina keindahan pengalaman dengan kecantikan bahasa secara bijaksana’.

Percubaan Za’ba (1962: 218) yang mendifinisikan puisi sebagai karangan berangkap, dilihat memberi tafsiran yang agak umum dan kabur, walaupun terdapat penegasan mengenai konsep kecantikan sesebuah puisi :

Karangan berangkap itu khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini, perkara yang dikatakan itu bertambah menarik kepada hati orang yang mendengarnya.

Struktur karangan berangkap yang dimaksudkan Za’ba merangkumi aspek susunan kata, rentak bunyi dan isi :

Karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan di antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyinya atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakannya memakai timbangan dan sukatan yang tertentu. Dalam perbahasan pengarang-pengarang cara baharu sekarang karangan demikian ini disebut ‘puisi’ (berlawanan dengan ‘prosa’ iaitu karangan lurus sahaja).

Sebait puisi juga merupakan alunan rasa dalam kilasan imaginasi si penyajak sepertimana dikonsepsikan oleh William Wordsworth (1988: 4) iaitu suatu ‘pengucapan tentang perasaan ghairah yang imaginatif, biasanya berentak dan berlaku secara spontan, dalam suasana tenang’.

Sungguhpun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa puisi adalah ciptaan yang indah dari aspek bentuk dan isi sehingga mendorong Samuel Taylor Coleridge (1988: 4) menganggap puisi sebagai ‘the best words in their best order/ perkataan terbaik dalam susunan terbaik.’

Kecantikan bentuk harus pula diharmoniskan dengan keutuhan makna dan keanjalan rasanya. Kerana itulah bagi Muhammad Hj. Salleh (1988: 10) puisi dilihat sebagai ‘…bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya. Dalam segala sifat kekentalannya, puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana. Bukanlah puisi namanya andainya ia tidak berupaya membijaksanakan pembaca.’

Tanggapan beliau selari dengan pandangan Robert Frost (1988: 54) yang menegaskan proses penikmatan puisi sebagai ‘it begins in delight and ends in wisdom/ bermula dengan hiburan/ keseronokan dan berakhir dengan kebijaksanaan’.

Bagi V.I. Braginsky (1994: 2) untuk menikmati karya sastera termasuk puisi seseorang pembaca mungkin mencapai salah satu atau semua tiga tingkat sfera fungsional di bawah :

· Sfera mengharmonikan kekacauan kesan-kesan psikik/ pengubatan psikik/ psikoterapi jiwa/ hiburan

· Sfera faedah/ manfaat/ alat penghayatan intelektual/ cerminan didaktik

· Sfera kesempurnaan rohani/ kamal / penghayatan intuitif berhubungan dengan Allah

Sementara Ralph Waldo Emerson (1988: 6) berpandangan bahawa ‘prinsip puisi adalah membawa makna sebanyak mungkin dalam kata-kata sedikit mungkin’.

Bagi khalayak sastera Melayu, penggunaan istilah puisi masih agak baru. Mereka lebih sering menggunakan istilah sajak. Oleh itu Muhammad Hj. Salleh (1988: 1-4) membezakan konsep sajak (verse) dan puisi (poetry). Mengikut beliau :

Istilah sajak sekarang ini digunakan secara agak longgar dan sering disamaertikan dengan puisi. Tetapi maknanya yang lebih tepat dan diterima di kalangan pengkaji kesusasteraan ialah bahawa sajak itu suatu bentuk moden yang lebih bebas dan seterusnya rangkapannya tidak terikat atau menyalin bentuk-bentuk tradisional seperti pantun dan syair dan membawa suasana serta pandangan hidup lebih moden.

Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa sajak adalah karya ringan yang belum sampai ke peringkat sastera, sementara puisi adalah karya yang telah mencapai tahap tinggi dalam tema, bahasa dan teknik sehingga wajar digolongkan sebagai hasil sastera.

Sehubungan itu, Harun Mat Piah (1989:1) berpendapat tiada satu definisi umum yang dapat diaplikasikan dengan tepat kepada konsep puisi sepertimana difahami oleh masyarakat kesusasteraan Melayu. Oleh itu beliau berpegang kepada tanggapan puisi sebagai suatu bentuk ‘pengucapan bahasa dalam susunan yang istimewa’ berbanding dengan ‘pengucapan biasa’ seperti yang digunakan dalam pertuturan sehari-hari.

Jelaslah walau dari jurus mana pun seseorang memandang puisi, hakikatnya sebagai satu bentuk genre kesusasteraan, puisi merupakan manipulasi aksara yang terjelma daripada kesepaduan medan kata, medan makna dan medan rasa hasil proses kreatif-imaginatif Sang Pujangga. Acapkali puisi membawa bersamanya amanat budi rasa-budi fikir masyarakat yang digarap secara misterius-religius. Hal ini sedikit banyak mengesahkan pendapat umum bahawa puisi adalah seni sastera yang aneh dan tak tentu.

2. Ciri-ciri Puisi

Pada umumnya, puisi mempunyai ciri-ciri berikut :

i) Memperlihatkan penggunaan bahasa yang lebih baik, ekspresif, kental, mengandungi nilai keindahan serta menimbulkan rangsangan dan kesan kepada pengalaman dan perasaan.

ii) Mempunyai bentuk tertentu, berkerat-kerat atau berurutan dalam baris yang sejajar, sama ada berbentuk konvensional/ berpola (bagi puisi tradisional) atau berbentuk bebas (bagi sajak).

iii) Ungkapan kata dan bahasa dipengaruhi unsur muzik, lagu, intonasi, kadensa, rentak, irama dan keharmonian bunyi.

iv) Baris, rima dan irama disusun membentuk pola atau ikatan tertentu (bagi puisi tradisional) atau tanpa ikatan pola tertentu (bagi sajak) yang dipengaruhi jumlah baris, jumlah perkataan, perseimbangan bunyi dan panjang-pendek perkataan.

v) Bagi puisi tradisional, wujud pembahagian unit dalam menyatakan idea, misalnya dua baris serangkap atau beberapa baris seuntai.

vi) Digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat untuk hiburan, keramaian, ritual, keagamaan, pengajaran dan sebagainya. Berfungsi sebagai pancaran pemikiran masyarakat zamannya sama ada zaman tradisional mahupun zaman kini.

vii) Ada puisi tradisional yang dianggap suci dan berhubung rapat dengan sistem kepercayaan dan menjadi taboo bagi masyarakat tertentu misalnya ungkapan adat pepatih.

viii) Bahasa yang padat kental mengandungi unsur perlambangan, imajan, kiasan dan perbandingan sama ada bersifat tradisional atau masa kini untuk menyatakan sesuatu dan melahirkan perasaan hati.

3. Jenis-jenis Puisi

Puisi sebagai satu genre kesusasteraan terbahagi kepada dua jenis utama iaitu puisi tradisional dan puisi moden (sajak). Dalam teks komponen KomSas puisi berkenaan mempunyai beberapa sub-jenis lagi.

Puisi Tradisional

Puisi Moden

Pantun

· Pantun dua kerat

· Pantun empat kerat

· Pantun enam kerat (talibun)

· Pantun lapan kerat (talibun)

Syair

Gurindam

Seloka

Sajak

4. Mengenal aspek-aspek dasar puisi

Puisi sama ada puisi tradisional atau moden (sajak) terbina daripada kesatuan kata, makna dan rasa sesuatu objek hasil pengamatan, penyaringan dan pemberian makna terhadap objek, perlakuan manusia dan alam sekeliling dalam bentuk kreatif-imaginatif. Penyair mencipta kata (yang disaring dengan teliti daripada puluhan kata asas) bagi menzahirkan erti yang bermakna dengan kelunakan rasa batin. Sementara pembaca (yang aktif) dituntut untuk berdialog dengan teks dalam suatu proses membongkar kod kata secara semiosis dan semiotik, untuk akhirnya dapat menikmati keindahan puisi berkenaan. Aspek-aspek dasar puisi tradisional dan moden (sajak) merangkumi medan makna (isi), medan kata (bahasa) dan medan rasa (teknik).

Medan Makna (Isi)

Merujuk kepada perkara-perkara yang membantu menjelaskan gambaran idea penyair atau isi sesebuah puisi.

(a) Maksud (Isi) : Gambaran idea yang terkandung dalam puisi.

(b) Tema : Inti atau isi pokok idea yang hendak disampaikan penyair.

(c) Persoalan : Isi-isi kecil atau sampingan yang membentuk idea puisi.

(d) Perutusan/ amanat dan pengajaran/ mesej : Gagasan nilai dalam idea puisi

(e) Sikap dan perasaan : Penggunaan diksi atau ungkapan yang menggambarkan kesan emosi dan pemikiran penyair sewaktu menghasilkan puisi.

(f) Unsur/ nilai murni : Memahami nilai dan norma kehidupan untuk diteladani dan digunakan secara bijaksana.

(g) Sejarah genre : Memahami latar belakang perkembangan puisi

(h) Biodata penyair : Pengetahuan tentang penyair; sejarah hidup, pengalaman, sumbangan dan himpunan karya untuk membantu pembaca lebih memahami karyanya serta menanamkan minat terhadap sastera.

(i) Penghasilan karya : Menghasilkan puisi secara terancang dan terbimbing mengikut prinsip penulisan kreatif.

Medan Kata (Bahasa)

Merujuk kepada unsur-unsur serta gaya pemakaian bahasa sesebuah puisi.

(a) Diksi : Pemilihan dan penggunaan kata khusus/ khas secara puitis yang ditulis secara sedar untuk melahirkan kesan rasa dan makna dalam puisi. Diksi yang baik dinilai dari aspek ketepatan, kemunasabahan, kejelasan dan keunikan. Contoh : berkelipan bintang kejora.

(b) Imej/ citra alam : Gambaran atau tiruan bentuk atau objek alam yang tergambar dalam fikiran, dicipta atau digambarkan untuk menyatakan satu pengertian perasaan. Memindahkan pengertian konkrit kepada satu pengertian abstrak dengan menggunakan objek alam bagi menggambarkan kesan rasa dan makna. Contoh : bulan, laut, bunga kemboja, selasih, rama-rama, undan.

(c) Kiasan : Kata atau ungkapan yang digunakan untuk menyatakan sesuatu dengan cara bersandarkan atau membandingkan sifatnya dengan sesuatu yang lain agar pernyataan menjadi lebih jelas dan memberi kesan serta makna khusus. Mungkin dalam bentuk bandingan atau tanpa bandingan.

Contoh : pahit bagai hempedu , tinggi menggalah dll.

(d) Rima : Persamaan gugus kata dari segi vokal atau konsanan yang timbul pada awal, tengah dan pada hujung baris puisi. Pengulangan bunyi vokal atau konsonan pada susunan perkataan dalam sebaris puisi dikenali rima dalaman. Contohnya, ‘sekuntum bunga biru’. (rima dalaman u : asonansi).

Pengulangan bunyi vokal dan konsonan pada perkataan hujung susunan baris-baris puisi dikenali rima luaran. Contoh :

Sekuntum bunga bunga biru

yang luruh di penjuru itu

adalah seorang aku

yang merinduimu (rima luaran sama : a;a;a;a)

(e) Aliterasi : Pengulangan bunyi konsonan pada awal kata atau bunyi vokal yang berturut-turut atau pengulangan perkataan atau suku kata yang berhampiran. Pengulangan itu terdapat dalam rentetan kata atau dalam satu-satu baris puisi. Contoh :

Kalau anak pergi ke pekan , Yu beli belanak pun beli

(pengulangan bunyi konsonan k dan b)

(f) Asonansi : Persamaan bunyi antara vokal yang diikuti oleh konsonan yang berbeza dalam dua atau lebih suku kata yang ditekankan. Contoh : Melangkah gadis menahan denyutan

(pengulangan bunyi vokal e dan a)

(g) Rentak : Tingkahan tinggi-rendah, panjang-pendek, cepat-lambat suara sewaktu melafazkan puisi. Dipengaruhi oleh susunan kata dan susunan baris puisi. Memberi kesan perasaan terhadap suara pembaca.

(h) Jeda : Titik perhentian seketika, peralihan nafas sewaktu melafazkan puisi. Berguna untuk menimbulkan kesan tumpuan dan imaginasi terhadap bahasa dan muzik kata. Ditandai dengan ( , ) atau ( ; ). Contoh :

Kalau nak gugur, gugurlah nangka,

Jangan menimpa, si ranting pauh;

Kalau nak tidur, tidurlah mata,

Jangan mengenang, orang yang jauh.

(i) Simile : Tamsil atau kiasan yang membandingkan dua objek yang mempunyai sifat dan nilai yang sama secara langsung. Menggunakan perkataan bandingan, misalnya ‘seperti, bagai, laksana , bak’. Contoh : berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi

(j) Metafora : Kiasan atau analogi yang melambangkan sesuatu bagi sesuatu yang lain bagi menyarankan antara keduanya terdapat kesamaan. Tidak menggunakan perkataan bandingan, lazimnya menggunakan kata ‘adalah’. Contoh : laut adalah guru, tak pernah jemu mengajarku

(k) Personifikasi : Kiasan yang memberikan sifat manusia (perasaan, perwatakan, tindak tanduk) kepada objek, binatang, idea atau hal-hal yang abstrak. Contoh : bulan tersenyum rawan, damai melambai senja.

(l) Hiperbola : Kiasan dalam bentuk ungkapan yang menggambarkan sesuatu secara berlebih-lebihan. Digunakan untuk menguatkan kesan makna. Contoh : perahu lilin layar kertas, sanggup seberangi lautan api.

(m) Singkof : Singkatan kata. Untuk mempercepatkan rentak bahasa atau merendahkan perasaan / emosi. Contoh : ku, mu, tak, dah

(n) Inversi : Pembalikan kata. Untuk menguatkan kesan rasa terhadap objek. Contoh : di hitam awan (sepatutnya di awan hitam)

(o) Anafora: Ulangan perkataan / rangkai kata di awal dua atau lebih baris baris yang berturutan. Contoh :

aku cinta padamu laut

aku sayang padamu camar

(p) Epifora : Ulangan perkataan/ rangkaikata di akhir dua atau lebih baris baris berturutan. Contoh :

sekuntum bunga biru

sehampar laut biru

(q) Imejan : Puisi yang mengandungi banyak perkataan yang menggambarkan objek atau perlakuan yang membentuk simbol, lambang atau kod untuk menggambarkan sikap dan perasaan penyair. Contoh :

segar angin laut/ mengembalikan rindunya pada kolek / bagai buih kecil terapung di laut/ menjaring sedikit rezeki/

(angin laut, kolek, buih kecil, jaring adalah imej yang melambangkan kemiskinan)

(r) Nada : Sikap pengarang terhadap objek atau ideanya. Mungkin bercorak romantis, melankolis, patriotis, sinis dan lain-lain. Dalam puisi nada lahir dari gabungan atau variasi unsur diksi, rima, aliterasi, asonansi, imejan dan simbol. Contohnya, sajak ‘Keindahan Yang Hilang’ (Kerusi, hlm. 15) bernada sedih dan melankolis.

Medan Rasa (Teknik)

Aspek-aspek yang berkaitan dengan teknik penciptaan puisi yang mempengaruhi pengucapan dan perasaan penyair atau pembaca.

(a) Bentuk (form) : Susunan luaran puisi yang merangkumi jumlah kata, suku kata, baris, bait, skima rima dan pembahagian unit (misalnya pembayang dan maksud bagi pantun)

(b) Struktur/ binaan (structure) : Susunan dalaman puisi seperti perkaitan antara pembayang dan maksud pantun, perkaitan antara anak kalimat dan induk kalimat dalam gurindam dan seloka.

(c) Timbangan (suku kata, kata, baris, rangkap, visual, skima rima) : Adalah ciri dan sifat yang menentukan keharmonisan pengucapan kata atau bahasa puisi.

(d) Ciri dan sifat : Aspek-aspek khusus yang menjelaskan puisi-puisi berlainan. Biasanya dilihat dari aspek bentuk, bahasa, isi dan fungsi.

(e) Perbandingan bentuk : Membandingkan perbezaan dan persamaan antara puisi berlainan dari aspek bentuk, bahasa, isi dan lain-lain.

Sesungguhnya puisi tradisional adalah pancaran akal budi masyarakat, bukan sahaja masyarakat zaman lalu bahkan merentasi masyarakat kini. Penghayatan puisi membolehkan kita mencungkil rahsia peribadi manusia, bangsa dan ketamaduanan wilayah yang melahirkannya.