Rabu, 11 September 2013

Peribahasa SPM

12 APRIL 2013

Peribahasa Maksud Sama


Berikut adalah antara peribahasa yang mempunyai maksud yang sama atau hampir sama. 

carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua
air dicencang tak akan putus
(perbalahan antara adik beradik tidak kekal lama, lama kelamaan akan berbaik-baik jua)

belut pulang ke lumpur
haruan pulang ke lubuk
(perantau yang pulang semula ke tempat asal)

api dalam sekam
gunting dalam lipatan
musuh dalam selimut
(musuh yang ada dalam kalangan sesuatu kumpulan tanpa disedari)

membuka pekung di dada
menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri
(mendedahkan keburukan ahli keluarga akan mengaibkan diri sendiri)

seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit
kerana nila setitik, rosak susu sebelanga
(disebabkan perbuatan seorang, semua yang lain turut terkena akibatnya)

sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi
habis madu, sepah dibuang
(apabila memperoleh barangan yang lebih baik, barang yang lama tidak diperlukan lagi)

lain padang lain belalang
banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam
lain dulang lain kakinya
rambut sama hitam, hati lain-lain
(manusia mempunyai sikap yang berbeza antara satu sama lain)

bagai isi dengan kuku
bagai aur dengan tebing
bagai dakwat dengan kertas
(persahabatan yang sangat akrab)

hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah
berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
bukit sama di daki, lurah sama dituruni
(susah senang dihadapi bersama)

ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi
bagaimana acuan, begitulah kuihnya
bapa borek, anak rintik
(seseorang yang akan mengikut sifat dan tingkahlaku bapanya)

masuk telinga kiri keluar telinga kanan
mencurah air ke daun keladi
mencurah garam ke laut
(pesanan atau nasihat tidak dipedulikan atau tidak member kesan kepada pendengar)

genggam bara api biar sampai jadi arang
alang-alang mandi biar basah
alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
(berbuat sesuatu pekerjaan biarlah bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan)

kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
pengayuh sayang dibasahkan, sampan tidak akan sampai ke seberang
(usaha diperlukan untuk mendapat sesuatu yang dihajati)

mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan
burung terbang dipipiskan lada
belum duduk sudah berlunjur
(mengharapkan sesuatu yang belum tentu, barang yg tersedia dilepaskan)

telur dihujung tanduk
retak menanti belah
(keadaan yang sangat genting, hanya menunggu masa untuk musnah)

embun dihujung rumput
abu di atas tunggul
(keadaan yang tidak tetap dan tidak kekal lama)

menangguk di air keruh
menahan lukah di pergentingan
(mengambil kesempatan dalam suasana gawat atau atas kesusahan orang lain)

bagai pinang di belah dua
bagai cincin dengan permata
seperti cincin terlekat dijari
tanduk bersendi gading
(padanan yang sesuai)

sarang tebuan jangan dijolok
lembu dogol jangan dibalun
(orang yang diam jangan dikacau kelak buruk padahnya)